BERPOLITIK ADALAH WAJIB SEBAGAIMANA KEWAJIPAN BERPUASA
[SN227] Alhamdulillah kita telah pun memasuki bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan keberkatan. Sepertimana tahun-tahun yang lalu, sekali lagi puasa tahun ini menyaksikan perbezaan penetapan awal Ramadhan di antara umat Islam, baik yang tinggal di negeri-negeri kaum Muslimin mahupun di negara kaum kuffar. Ini kerana masih terdapat negara dan sebahagian umat Islam yang masih memulakan puasa berdasarkan kaedah hisab (penetapan) tanpa melihat kepada anak bulan. Juga, kerana masih ada sebahagian pemimpin dan umat Islam yang masih membelenggu diri mereka dengan sempadan assabiyyah dan wathaniyyah ciptaan kuffar penjajah sehingga tidak mahu menerima hilal (anak bulan) yang dilihat di negara lain. Walhal Rasulullah SAW bersabda, “Berpuasalah kalian kerana melihat hilal dan berbuka (berhari raya)lah kalian kerana melihat hilal dan jika mendung (awan) meliputi penglihatan kalian, maka genapkanlah Sya’ban kepada 30 hari” [HR Muslim].
Dalam hadis ini Rasulullah tidak pernah membataskan kepada kaum Muslimin tertentu di negara tertentu, sebaliknya Rasulullah menyatakannya secara umum, yakni Muslim manapun yang melihat anak bulan di negara/tempat mana sekalipun, maka ini menjadi sebab kepada masuknya 1 Ramadhan dan kaum Muslimin di seluruh dunia wajib berpuasa. Apatah lagi dengan kecanggihan sistem komunikasi yang ada sekarang yang sesungguhnya langsung tidak menjadi masalah untuk umat Islam menyampaikan berita ternampaknya hilal ke seluruh dunia hanya dalam masa beberapa saat sahaja. Dengan dalil yang begitu jelas dan sistem komunikasi tanpa batas, umat Islam sesungguhnya tidak ada alasan untuk tidak berpuasa secara serentak di seluruh dunia. Namun sayangnya oleh kerana negeri-negeri umat Islam terpecah kepada lebih 50 buah dan masih diperintah oleh pemimpin sekular yang memerintah dengan sistem kufur dengan batas sempadan negara-bangsa, maka terjadilah perpecahan dalam segala hal hatta kepada penetapan 1 Ramadhan. Beginilah keadaan umat Islam yang hidup tanpa Daulah Khilafah, terpecah belah walaupun di dalam menyambut Ramadhan yang sepatutnya menjadi simbol kesatuan ibadat umat Islam. Semoga pada tahun-tahun yang mendatang umat Islam akan berpuasa serentak pada hari yang sama di bawah naungan Khilafah, Insya Allah.
Beberapa hari menjelang puasa, kita di Malaysia dihidangkan dengan isu ‘boleh-tidak’ mahasiswa untuk melibatkan diri dalam politik kepartian. Isu ini tercetus apabila Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menyatakan bahawa kerajaan bersedia untuk berbincang dengan semua pihak termasuk pemimpin pelajar bagi meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk membolehkan mahasiswa melibatkan diri dalam politik kepartian. Saifuddin berkata, sebagai permulaan beliau akan menghadiri perbincangan meja bulat mengenai perkara itu yang dianjur Majlis Belia Malaysia (MBM) di mana perbincangan meja bulat itu akan turut disertai pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin mahasiswa. “Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin oleh Perlembagaan. Di samping itu ia penting untuk mematangkan demokrasi kita,” katanya [UM09/08/10]. Kenyataan Saifuddin ini mengundang reaksi positif dari beberapa pemimpin pembangkang dan pimpinan pelajar IPT yang telah lama menuntut agar mahasiswa diberi kebebasan berpolitik. Banyak pihak kemudiannya terus membincangkan aspek pro dan kontra membenarkan mahasiswa terlibat dalam parti politik. Namun, belum pun habis isu ini dibincangkan dari aspek baik buruknya, hanya beberapa hari selepas Saifuddin mengeluarkan kenyataan yang ‘agak berani’ ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menangkis bahawa larangan mahasiswa melibatkan diri dalam kancah politik kepartian adalah kekal. “Setakat ini larangan tersebut kekal kerana mereka masih terikat dengan AUKU”, tegas Muhyiddin [UM10/08/10].
Kewajipan Berpolitik
Dalam pada segelintir mahasiswa mendesak kerajaan agar membenarkan mereka terlibat di dalam parti politik, kita semua tahu bahawa sebahagian besar mahasiswa adalah golongan yang takut untuk berpolitik. Ini kerana adanya AUKU yang boleh menyebabkan mereka digantung atau ditendang dari universiti jika terlibat di dalam parti politik. Jadi, mereka lebih memilih jalan selamat untuk langsung memisahkan diri dari politik atau jika terlibat sekalipun, hanyalah sebatas politik kampus yang dibenarkan oleh AUKU. Hal ini justeru menyebabkan ramai mahasiswa yang buta politik malah ada yang menyifatkan bahawa terlibat dalam politik hanyalah suatu tindakan yang bodoh atau sia-sia. Pemikiran kebanyakan mahasiswa telah terindoktrinisasi dengan fahaman bahawa kehidupan seorang mahasiswa hanyalah untuk belajar dengan kemuncaknya memperolehi segulung ijazah manakala politik adalah suatu yang tidak ada kena mengena dengan tujuan mereka memasuki universiti. Persepsi salah yang dimiliki mahasiswa berhubung politik ini bercambah sejak kecil lagi kerana mereka lahir dan dibesarkan di bawah sistem pendidikan demokrasi-sekular yang menyebabkan kefahaman mereka tersasar jauh dari kefahaman Islam yang sebenar.
Sebagai golongan intelek, mahasiswa sepatutnya melihat dan memahami politik beserta hukum-hakamnya dengan mengkaji nas-nas dari al-Quran dan al-Hadis, seterusnya mereka mesti bertindak mengikut apa yang diterangkan oleh nas, bukannya mengikut fahaman atau lunas undang-undang yang dibuat oleh manusia. Mereka sepatutnya lebih takutkan Allah dari takutkan pemerintah zalim yang melaksanakan undang-undang kufur ke atas mereka. Rasulullah SAW bersabda,
“Penghulu para syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutallib dan seorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim lalu menasihatinya, kemudian dia dibunuh oleh penguasa tersebut” [HR Hakim].
Sabda Rasulullah SAW yang lain,
“Barangsiapa (bangun) di pagi hari dan perhatiannya kepada selain Allah, maka Allah akan berlepas diri dari orang itu. Dan barang siapa (bangun) di pagi hari tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk dari mereka (kaum Muslimin)” [HR Hakim].
Kedua-dua hadis ini menunjukkan kewajipan setiap Muslim untuk berpolitik yakni wajib untuk kita mengambil tahu urusan kaum Muslimin dan melakukan muhasabah (menasihati) pemerintah dengan Islam walau hingga ke tahap kita dibunuh sekalipun.
Dalam hadis-hadis ini adanya tuntutan yang bersifat jazm (tegas), yakni kaum Muslimin dituntut dengan dalil yang tegas agar memerhatikan kepentingan saudaranya yang lain, dengan kata lain Islam menuntut agar mereka berpolitik. Menyibukkan diri dalam politik bererti memperhatikan kepentingan kaum Muslimin yakni dengan cara menolak tindakan kejam penguasa serta tindakan kejam musuh terhadap kaum Muslimin. Kerana itu, hadis-hadis di atas tidak hanya berisi penolakan terhadap kekejaman yang dilakukan oleh penguasa sahaja melainkan mencakup keduanya. Lafaz, “barangsiapa yang tidak memerhatikan urusan kaum Muslimin” adalah berbentuk umum. Kata “yahtamma” (memerhatikan) bererti memandu kaum Muslimin kepada kebenaran, sedangkan kata “al-muslimin” itu sendiri adalah umum, kerana ia berbentuk jama’ (banyak) yang disertai dengan huruf alif dan lam. Ini membawa erti bahawa perhatian tersebut tertuju kepada kaum Muslimin secara umum, serta kepada apa sahaja yang terkait dengan kaum Muslimin, tanpa mengira di mana pun mereka berada dan apa pun bangsa atau keturunan dan warna kulit mereka.
Dalam hadis lain dari Ubadah bin Samit ia berkata,
“Nabi SAW mengajak kami (membaiatnya), lalu kami membaiat beliau. Kemudian beliau mengajarkan kepada kami bagaimana kami perlu membaiat. Lalu kami membaiat beliau untuk mendengarkan dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan yang kami senangi ataupun kami tidak senangi, dalam keadaan sulit ataupun lapang, serta dalam hal tidak mendahulukan urusan kami, juga agar kami tidak merebut kekuasaan dari seorang pemimpin, kecuali (sabda beliau), ‘Kalau kalian melihat kufran bawahan (kekufuran yang nyata) yang dapat dibuktikan berdasarkan keterangan dari Allah” [HR Bukhari & Muslim].
Hadis ini menyentuh hubungan atau pertalian langsung di antara pemerintah dan rakyat di mana rakyat dituntut mentaati pemerintah selama mana pemerintah masih menerapkan Islam, namun apabila mereka menerapkan kekufuran maka kaum Muslimin tidak boleh berdiam diri kecuali berusaha menggantikannya. Justeru, setiap Muslim harus mengambil tahu atau ‘peka’ dengan urusan pemerintahan dan sistem yang mengatur mereka kerana wujudnya tanggungjawab yang perlu mereka pikul dalam persoalan ini. Inilah persoalan politik dan persoalan ini wajib diperhatikan oleh kaum Muslimin dengan mendalam kerana ia adalah satu kefardhuan.
Siyasah (politik) mengikut pengertian bahasa adalah pemeliharaan (pengurusan) kepentingan manakala siyasah menurut pengertia syar’ie bermaksud ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri) [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur]. Pengertian ini diambil dari beberapa hadis di mana Rasulullah SAW menggunakan lafaz ‘siyasah’ untuk menunjukkan maksud pengurusan/pemeliharaan urusan umat. Memperhatikan (mengambil peduli) terhadap kaum Muslimin adalah kepedulian terhadap kepentingan-kepentingan mereka. Begitu juga membantah kekuasaan penguasa (yang tidak Islami) merupakan kepedulian terhadap kepentingan kaum Muslimin serta termasuk mengurusi persoalan-persoalan mereka. Inilah pengertian politik menurut Islam.
Hadis dari Jarir bin Abdullah mengatakan,
“Aku mendatangi Nabi SAW lalu aku berkata, ‘Aku membaiatmu berdasarkan Islam. Maka baginda mensyaratkan agar aku memberi nasihat kepada semua Muslim” [HR Bukhari].
Lafaz “an nas-hu” (nasihat) dalam hadis ini adalah berbentuk umum di mana termasuk di dalamnya adalah menolak tindakan zalim penguasa dan kezaliman musuh Islam terhadap kaum Muslimin. Hal itu bererti menyibukkan diri untuk berpolitik ‘dalam negeri’ untuk mengetahui polisi yang ditetapkan penguasa terhadap rakyatnya dalam rangka memuhasabah tindakan-tindakan penguasa tersebut. Di samping itu, ia juga bererti menyibukkan diri dalam berpolitik ‘luar negeri’ untuk mengetahui strategi dan tipu daya negara-negara kafir terhadap kaum Muslimin dalam rangka membongkarnya kepada kaum Muslimin serta berusaha mewaspadainya dan menolak ancamannya.
Allah SWT berfirman,
“Alif Lam Mim. Telah dikalahkan Rum di negeri yang terdekat. Dan mereka sesudah kekalahan itu akan menang dalam beberapa tahun lagi” [TMQ ar-Rum (30):1-3].
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Ibnu Sihab,
“Telah sampai kepadaku khabar bahawa kaum musyrikin telah berdebat dengan kaum Muslimin di Makkah sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Mereka (musyrikin) berkata, ‘Orang-orang Romawi percaya bahawa mereka adalah ahli kitab dan orang-orang Majusi (ternyata) mengalahkan mereka. Dan kalian menyangka akan dapat mengalahkan kami dengan kitab yang diturunkan kepada Nabi kalian. Maka bagaimana orang Majusi dapat mengalahkan Romawi sedangkan mereka (Romawi) adalah ahli kitab. Oleh kerana itu kamilah yang akan mengalahkan kalian sebagaimana Parsi mengalahkan Romawi. Kemudian Allah SWT menurunkan ayat di atas.”
Riwayat ini membuktikan bahawa kaum Muslimin di Makkah sejak sebelum berdirinya Negara Islam telah melakukan perdebatan dengan orang-orang kafir mengenai pelbagai masalah luar negara dan hubungan internasional. Dalam riwayat tersebut dikatakan Abu Bakar bertaruh dengan orang-orang kafir bahawa bangsa Romawi akan menjadi pemenang. Abu Bakar melaporkan pertaruhannya tersebut kepada Rasulullah SAW dan baginda menyatakan persetujuannya, kemudian meminta Abu Bakar melanjutkan masa pertaruhannya dan menjadikan diri baginda sebagai teman bertaruhnya. Riwayat ini menunjukkan bahawa perbincangan terhadap permasalahan dan hubungan internasional telah dilakukan oleh kaum Muslimin sejak awal dan hal itu disetujui oleh Rasulullah. Berdasarkan hal ini, yang difardhukan bukanlah hanya menyibukkan diri berpolitik dalam negeri sahaja malah wajib juga melibatkan diri dengan politik luar negeri. Ini kerana yang wajib itu adalah menyibukkan diri dalam politik secara mutlak baik berupa politik dalam negeri mahupun luar negeri. Oleh itu, menelaah secara mendalam aktiviti-aktiviti penguasa adalah wajib, seperti juga wajibnya aktiviti berpolitik itu sendiri.
Mengikuti perkembangan politik (sama ada dalam atau luar negeri) secara terus-menerus dengan penuh kesedaran terhadap keadaannya, mengetahui motivasi negara dan bangsa-bangsa di dunia, mengikuti aktiviti politik yang berlangsung di dunia, mengadopsi strategi politik yang berupa teknik operasional serta bentuk-bentuk interaksi antara negara-negara, termasuk percaturan politik yang berlangsung di negara tersebut, semuanya adalah fardhu bagi kaum Muslimin, dan kewajiban ini muncul dari kaedah ma la yatimmul wajib illa bihi fahua wajib (suatu perkara yang tidak sempurna kecuali dengan melakukan suatu perbuatan, maka perbuatan itu menjadi wajib) Ini kerana, kaum Muslimin bertanggungjawab untuk mengembang dakwah dan jihad ke seluruh dunia. Kaum Muslimin juga wajib mengusir musuh yang cuba menceroboh dan menjajah tanah Islam. Justeru, mengembang dakwah ke seluruh dunia serta mengusir musuh dari negeri Islam ini tidak mungkin terlaksana kecuali dengan memahami hakikat posisi internasional dan rincian-rincian hubungannya dengan sesempurna mungkin. Dan tidak mungkin akan sempurna memahaminya melainkan dengan menelaahnya secara terperinci. Untuk melakukan semua ini tidak mungkin dapat dicapai jika kaum Muslimin tidak memahami politik, tidak mengikuti perkembangan politik atau tidak berpolitik baik di peringkat lokal mahupun global.
Di dalam kewajipan berpolitik dan menyertai parti politik, Allah SWT tidak pernah membezakan taklif di antara Muslim, baik ia adalah seorang pelajar, pekerja, pesara, pemimpin, rakyat, seorang lelaki mahupun perempuan, kaya atau miskin dan sebagainya. Firman Allah,
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam), mengajak kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar.” [TMQ Ali Imran (3):104].
Di dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan kaum Muslim mewujudkan setidak-tidaknya sebuah kutlah (jemaah/gerakan) yang menyeru kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Menyeru kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar sesungguhnya adalah kewajipan politik, tanpa mengira status seseorang Muslim itu baik ia seorang mahasiswa atau tidak.
Justeru, mahasiswa harus faham bahawa menyertai politik kepartian bukan sekadar boleh, malah ia adalah perintah Allah yang merupakan sebuah kewajiban. Hukum (boleh atau tidak) untuk mereka masuk ke kancah politik bukanlah berada di tangan pak menteri, baik Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri sekalipun. Tidak ada seorang manusia pun boleh menghalang seorang Muslim dari menyertai politik atau terlibat secara langsung di dalam politik kerana hal ini merupakan kewajipan dari Allah SWT. Dengan kata lain, walaupun undang-undang demokrasi mengatakan bahawa mahasiswa tidak boleh menyertai parti politik, dan kerajaan demokrasi hari ini menghalang mahasiswa dari menyertai politik, ini semua adalah batil dan tidak ada nilai sebesar zarah pun di sisi Allah! Siapa sahaja yang mengharamkan apa yang Allah halalkan, apatah lagi mengharamkan apa yang Allah telah wajibkan, maka dosa dan nerakalah yang layak baginya. Na’uzubillah min zalik.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya tidak ada perbezaan di antara hukum Allah yang satu dengan yang lainnya. Jika suatu hukum itu wajib, maka ia mestilah dilakukan sekuasa-kuasa kita dan sebaliknya jika suatu hukum itu haram, maka ia mesti ditinggalkan. Tidak ada beza di antara kewajipan dakwah dan solat, di antara kewajipan solat dan puasa dan juga di antara kewajipan puasa dan kewajipan berpolitik. Kesemuanya adalah sama-sama kewajipan yang mesti dilakukan dan berdosa jika ditinggalkan. Hanya sahaja, yang perlu difahami adalah bahawa kewajipan berpolitik dan menyertai parti politik yang dimaksudkan di sini adalah berpolitik sesuai degan hukum syara’ dan menyertai parti politik yang dibangunkan atas dasar Islam, bukannya parti politik yang dibangun atas dasar sekular atau kufur. Bolehnya kita berpolitik bukanlah dan tidak boleh disandarkan kepada undang-undang ciptaan manusia. Al-Quran dan Sunnah hendaklah menjadi dalil dan sandaran bagi setiap perbuatan kita. Justeru, setiap Muslim hendaklah mentaati dan mengikat diri mereka kepada hukum Al-Quran dan as-Sunnah di dalam berpolitik, bukannya mentaati dan mengikat diri dengan AUKU, ISA, OSA, Akta Polis, Akta Penerbitan Dan Mesin Cetak, Perlembagaan Persekutuan dan lain-lain hukum kufur di bawah sistem demokrasi.
0 manusia berfikir:
Post a Comment