04 June 2011

Rakyat Terus Menjadi Korban

[SN263] “Kenaikan tarif tidak membebankan rakyat”, begitulah intipati tajuk yang menghiasi muka depan Utusan Malaysia dan juga Berita Harian beberapa hari lepas. Dalam pengumuman tarif baru elektrik yang berkuat kuasa 1 Jun 2011, seramai 4.4 juta daripada 5.94 juta pengguna tidak mengalami kenaikan bil elektrik mereka jika menggunakan kurang daripada 300 kilowatt sejam (kWj) tenaga itu sebulan. Kata Perdana Menteri, kenaikan tarif itu perlu demi menggalakkan syarikat-syarikat tenaga melabur dalam bidang cari gali minyak serta gas dan penerokaan sumber tenaga baru. Melalui pelan rasionalisasi subsidi yang diumumkan, kerajaan meluluskan permohonan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menaikkan taraf asas elektrik sebanyak dua peratus bagi menampung kos pembekalan semasa [UM 01/06/11]. Kenaikan tarif elektrik pada kali ini sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh kenaikan harga gas asli kepada sektor tenaga daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU berkuat kuasa 1 Jun 2011.

Salah satu komponen utama lain dalam kos bahan api TNB ialah kos arang batu (48.3 peratus daripada campuran kos bahan api pada TK2010). TNB juga memberikan sebab kenaikan harga arang batu sebagai penyebab naiknya tarif elektrik [BH 31/05/11]. Walau apa sekalipun justifikasi yang diberikan oleh kerajaan, kita sudah muak dengan segala justifikasi ini kerana hakikatnya ia hanyalah merupakan justifikasi seekor musang untuk memakan sekumpulan ayam. Dengan kata lain, rakyat akan terus menjadi korban kerakusan sebuah kerajaan Kapitalis.

Tanpa perlu mempunyai taraf pendidikan yang tinggi sekalipun, rakyat boleh mencongak dan memahami bahawa kenaikan tarif ini akan hampir pasti mengakibatkan kenaikan harga barang-barang keperluan. Ini kerana, semua industri atau kilang pengeluar produk akan terjejas dengan kenaikan ini, maka sudah tentu mereka tidak akan sanggup menanggung lebihan kos dan kos ini pastinya akan dialih kepada pengguna. Untuk mengalihkan kos ini kepada pengguna, cara yang paling mudah dan amat berkesan ialah dengan menaikkan harga barang keluaran. Apabila pengusaha mula menaikkan harga barang, maka kitaran kenaikan ini akan akhirnya sampai kepada peruncit yang akan melakukan hal yang sama. Sudahnya, penggunalah yang akan menanggung segala beban. Justeru, walaupun Najib mengatakan 75% (4.4 juta) pengguna tidak akan terjejas dengan kenaikan tarif elektrik yang baru ini, namun ‘harga’ kenaikan ini tetap kena dibayar oleh semua 4.4 juta pengguna tersebut. Inilah kehebatan para pemimpin di dalam ‘menipu’ rakyat! Orang seperti Najib dan pak-pak Menteri lainnya, seperti biasa tidak akan terjejas atau terasa walaupun sedikit, dengan kenaikan tarif ini. Apa yang mereka pasti dapat rasakan adalah, kenikmatan kekayaan yang semakin banyak yang mereka dapat kaut dari rakyat hasil dari kenaikan ini! Inilah sifat sebuah kerajaan Kapitalis yang orientasi pemerintahan atau hidupnya adalah untuk meraih sebanyak mungkin kekayaan dari penderitaan orang lain yang berada di bawah kekuasaannya!

Elektrik Sebagai Sebuah Industri, Milik Siapa?

Di dalam sesebuah negara, elektrik sememangnya merupakan suatu keperluan, walaupun mungkin bukan keperluan asas. Untuk keperluan sesebuah negara dan rakyatnya, elektrik perlu dijana dari sumber kuasa yang besar dan tidak boleh tidak ia mesti melibatkan industri. Di antara asas-asas kehidupan ekonomi yang paling penting bagi umat, bangsa atau masyarakat mana pun di dunia ini, adalah industri. Pada masa dahulu, industri-industri hanya terbatas pada industri tradisional. Ketika manusia menjumpai cara menggunakan wap dalam menjalankan mesin, maka bermulalah industri mekanikal menggantikan kedudukan industri manual. Ketika tibanya era penemuan-penemuan moden, maka terjadilah revolusi yang penting dalam bidang industri. Produksi meningkat dengan begitu cepat yang sebelumnya tidak pernah terlintas di fikiran manusia. Industri mekanikal menjadi dasar di antara dasar-dasar kehidupan ekonomi. Revolusi industri ini kemudian terus berkembang pesat dan seterusnya menyingkap kezaliman sistem Kapitalis dengan menampilkan reputasi yang amat buruk. Kezaliman itu tampak jelas dalam eksploitasi para Kapitalis terhadap tenaga para pekerja dalam menciptakan monopoli-monopoli yang mengerikan dengan tertubuhnya perusahaan-perusahaan yang besar. Maka muncullah doktrin Sosialisme yang menawarkan kajian masalah ‘kepemilikan’ industri yakni apakah industri itu milik negara atau milik individu, atau milik negara atau milik umum?

Sebenarnya Islam telah lama menyelesaikan masalah industri dari segi kepemilikan dan hukum-hukum yang terkait dengannya. Islam menjelaskan bahawa hukum asal industri adalah milik individu. Ini bermakna, setiap individu rakyat boleh memiliki industri. Sehubungan dengan ini, maka industri adalah termasuk di dalam milkiyah al-fardiyah (pemilikan individu) dan bukannya milkiyah al-ammah (pemilikan umum) atau milkiyah ad-daulah (pemilikan negara). Dalil atas hal ini adalah bahawa Rasulullah SAW pernah meminta untuk dibuatkan cincin dan juga mimbar untuk baginda. Baginda meminta untuk dibuat cincin dan mimbar tersebut dari orang yang memiliki industri berkenaan sebagai kepemilikan individu. Manusia di masa Rasulullah SAW telah pun memiliki industri dan baginda mendiamkannya (membenarkannya). Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW telah menetapkan industri sebagai milkiyah al-fardiyah, baik itu industri senjata, besi, kayu dan sebagainya. Tidak ada satu riwayatpun yang melarang tentang pemilikan industri dan tidak ada satu nas pun yang menerangkan bahawa industri itu adalah milik umum, samalah halnya di mana tidak ada satu nas pun yang menerangkan bahawa industri adalah milik negara. Dengan demikian, dalil itu tetap umum bahawa industri adalah termasuk milkiyah al-fardiyah.

Bilakah Industri Bertukar Menjadi Milkiyah Al-Ammah

Perlu difahami bahawa hukum industri diambil mengikut ‘hasil produksi’nya. Ini kerana Rasulullah SAW mengharamkan memerah (memproduksi) minuman keras (khamar) di mana hal ini (memproses khamar) adalah termasuk dalam bidang perindustrian. Dari Anas, ia berkata,

“Rasulullah SAW melaknat 10 orang yang berhubungan dengan minuman keras iaitu pembuatnya, pemesannya....” [HR Ibnu Majah & Tirmizi].

Dari Ibnu Umar, ia berkata,

“Ada sepuluh bahagian yang dilaknat berhubung dengan arak iaitu zatnya, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, pembelinya, pembuatnya dan pemesannya” [HR Ahmad].

Industri pemerahan (jus buah) adalah mubah (harus), baik berupa industri pemerahan anggur, epal, oren dan sebagainya. Namun, Rasulullah SAW datang dan mengharamkan industri pemerahan (produksi) khamar. Keharamannya adalah kerana ‘produksi’nya yang menghasilkan khamar. Produksi pemerahan itu haram kerana status hukumnya adalah mengikuti ‘hasil’ pemerahannya. Ini bermakna, status hukum industri adalah bergantung kepada hasil yang diproduksinya. Perlu difahami bahawa hal ini tidak hanya khusus untuk khamar, tetapi meliputi setiap yang haram seperti industri judi, ganja, heroin, pembuatan patung dan seumpamanya.

Dari hadis-hadis yang melaknat pembuat arak, juga pemerahannya, maka dibuatlah kaedah “As-suna’ah ta’khuzu hukma ma tuntijuhu” (status hukum industri adalah mengikuti apa yang diproduksinya). Dalam kaedah ini, pengambilan dalilnya amat jelas. Larangan tentang pemerahan khamar misalnya, bukanlah larangan tentang ‘pemerahan’ itu sendiri, tetapi ia adalah larangan tentang pemerahan (untuk menghasilkan) khamar. Inilah maksud kaedah syarak tersebut, yakni haramnya industri adalah kerana haramnya hasil produknya. Inilah penjelasan dalil bahawa “status hukum industri adalah bergantung kepada apa yang diproduksinya”. Berdasarkan kaedah ini, maka memproduksi apa sahaja yang haram, adalah haram hukumnya. Hal ini termasuklah memproduksi barang-barang yang menjadi milik umum seperti galian, minyak dan seumpamanya yang mana produksinya tidak boleh (haram) dimiliki oleh mana-mana individu.

Seperkara yang tidak boleh dipisahkan dengan industri adalah ‘peralatan’ yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu produk, contohnya bekas yang digunakan untuk menghasilkan arak atau pahat yang digunakan untuk membuat patung dan sebagainya. Status hukum untuk semua peralatan ini adalah mengikuti barang yang dihasilkan. Ini bererti, status hukum kilang/perusahaan yang membuat barang tersebut juga adalah mengikuti apa yang diproduksinya. Maknanya, jika mesin atau bekas yang dibuat itu adalah dibuat untuk kegunaan menghasilkan suatu yang haram, maka semua yang terkait dengan bekas itu adalah haram. Begitu juga jika ada kilang yang dikhususkan untuk memproduksi barang-barang yang termasuk dalam pemilikan umum, maka barang hasil produksinya adalah milik umum dan kilang tersebut adalah termasuk milik umum. Pendek kata, ‘hasil produksi’ kilang akan mengubah ‘status hukum’ kilang sesuai dengan ‘status hukum barang’ yang dihasilkannya.

Dalam hal ini, syarak telah menentukan harta benda yang menjadi milik umum dengan ketentuan/nas yang sangat jelas. Harta benda dalam kategori berikut adalah milik umum dan tidak boleh (haram) menjadi milik individu –

(i) bahan galian yang jumlahnya tidak terbatas,

(ii) sumber daya alam yang sifat pembentukannya menghalangi untuk dimiliki oleh individu secara perseorangan,

(iii) harta benda yang merupakan fasiliti umum di mana jika fasiliti tersebut tidak ada di suatu tempat atau komuniti, persengketaan akan berlaku di dalam komuniti tersebut dalam mencarinya.

Untuk tujuan perbincangan kita, kita hanya akan memfokuskan kepada kategori (ii) dan difokuskan lagi hanya kepada perbincangan tentang tenaga elektrik. Di antara ‘peralatan/barang’ yang dapat diterapkan hukum fasiliti umum adalah penjana kuasa elektrik (seperti penjanakuasa diesel, generator dan lain-lain). Dalam konteks sebuah perusahaan, hukum barang ini berbeza mengikut konteks tujuan penggunaan atau penghasilan tenaga elektrik tersebut. Jika tujuannya adalah untuk menghasilkan elektrik untuk penggunaan sendiri (cahaya lampu dan peralatan elektrik lainnya) maka peralatannya dalam keadaan ini menjadi milkiyah al-fardiyah. Ini kerana, cahaya lampu bukanlah milkiyah al-ammah yang mana ia tidak termasuk ke dalam kategori jika ia tiada, suatu komuniti akan bersengketa untuk mendapatkannya. Cahaya lampu berbeza dengan air, kerana untuk air, terdapat ketetapan langsung dari syarak,

“Manusia itu bersyarikat (bersekutu) dalam tiga perkara (iaitu) air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud & Ahmad].

Oleh kerana itu, alat-alat yang digunakan untuk menjana elektrik untuk tujuan memperoleh cahaya lampu adalah termasuk pemilikan individu bukan pemilikan umum. Ini bermakna, boleh bagi mana-mana individu untuk memiliki peralatan penjana elektrik untuk memperoleh cahaya lampu bagi dirinya sendiri atau menjualnya kepada orang lain. Akan tetapi, seseorang itu tidak boleh memasang tiang elektrik dan kabel di jalan umum untuk menyalurkan elektrik ke rumah-rumah, kerana jalan merupakan milik umum.

Sedangkan jika penghasilan elektrik adalah digunakan untuk menjalankan fungsi api seperti memasak, memanas atau melebur logam dan sebagainya, maka elektrik dalam keadaan ini termasuk di dalam pemilikan umum, kerana ia termasuk ke dalam hadis “air, padang ragut dan api”. Yang dimaksud dengan ‘api’ di sini adalah bahan untuk pembakaran dan apa-apa yang terkait dengannya. Atas dasar ini, maka segala peralatan elektrik yang digunakan untuk tujuan mendapatkan fungsi pembakaran adalah milik umum. Dan Negara merupakan satu-satunya pihak yang mengawal dan menjaga (bukan memiliki) pemilikan umum ini.

Persoalannya, apakah status hukumnya jika alat janakuasa elektrik digunakan untuk memperoleh cahaya dan juga mendapatkan fungsi pembakaran dalam waktu yang sama? Jawapannya - jika biasanya (fi al-adah) tenaga elektrik digunakan untuk tujuan memperoleh cahaya, maka pada saat itu, alat janakuasa tersebut adalah milkiyah al-fardiyah, sebagaimana penggunaan seharian elektrik di rumah-rumah yang mana secara umum, tenaga elektrik dalam konteks ini sebenarnya digunakan untuk ‘memperoleh cahaya’. Dalam keadaan di mana tenaga elektrik yang disalurkan ke rumah-rumah adalah untuk tujuan memperoleh cahaya (dan membekal tenaga kepada peralatan-peralatan domestik) manakala penggunaan elektrik untuk tujuan memasak dan memanaskan hanyalah ‘rentetan’ dari bekalan tenaga elektrik yang wujud, maka status hukumnya adalah menurut penggunaan asalnya. Status hukum penggunaan tenaga elektrik ‘secara rentetan’ (memasak dan memanaskan) adalah ‘mengikuti’ hukum asal bagi tujuan yang lebih dominan (pemerolehan cahaya dan membekal tenaga kepada peralatan domestik). Namun, sekiranya tenaga elektrik digunakan secara dominan untuk pemanasan (seperti di kilang peleburan dan seumpamanya), manakala penggunaannya untuk ‘cahaya lampu’ hanyalah ‘rentetan’ atau ‘mengikuti’ tujuan utama kewujudan tenaga elektrik di kilang tersebut, dalam keadaan ini, alat janakuasa elektrik seperti ini berstatus milkiyah al-ammah.

Dari segi perbandingan, keadaan ini sama statusnya dengan hukum tanah yang ditanami pepohonan. Jika pohon adalah ‘lebih dominan’ dari tanah, maka status hukumnya dikembalikan kepada pohon sedangkan status hukum tanah adalah ‘mengikuti’ pohon, yang membolehkan ia (pohon) disewakan melalui akad musaqat. Jika tanah adalah ‘lebih dominan’ dari pohon, maka status hukumnya dikembalikan kepada tanah sedangkan status hukum pohon hanyalah ‘mengikuti’, dan ia (tanah) tersebut tidak boleh disewakan. Ringkasnya, status hukum sesuatu itu dikembalikan kepada tujuan aktiviti/objek yang asal (yang lebih dominan), bukan kepada aktiviti/objek ‘rentetan’ atau yang ‘mengikuti’ aktiviti/objek utama.

Namun, sekiranya tenaga elektrik dijana dari janakuasa hidroelektrik (dari sumber kuasa air), maka tidak diragukan lagi bahawa ia termasuk ke dalam kategori milkiyah al-ammah. Dalam hal ini tidak ada bezanya sama ada tujuan elektrik itu dijana untuk memperoleh cahaya lampu mahupun sebagai sebagai pengganti api (fungsi pembakaran). Seseorang itu dilarang memilikinya secara khusus (individu mahupun kumpulan) kerana ini akan menyebabkan terhalangnya orang lain dari memanfaatkannya, sedangkan ia adalah harta yang pelu dimanfaat dan dilindungi bersama. Oleh kerana itu, status hukum tenaga elektrik dalam hal ini adalah termasuk milkiyah al-ammah secara mutlak.

Di antara perusahaan yang juga dapat diterapkan atasnya hukum fasiliti umum adalah perusahaan arang batu. Sebagai bahan bakar, arang batu adalah milkiyah al-ammah sebab ia termasuk di dalam hadis “air, padang ragut dan api”. Begitulah juga dengan segala peralatan yang digunakan untuk mengeluar dan menghasilkan arang batu tersebut, semuanya adalah termasuk milkiyah al-ammah. Status hukum yang sama dapat diterapkan ke atas perusahaan atau industri yang berasal dari minyak bumi seperti industri petrokimia dan gas asli. Perusahaan seperti ini adalah milik umum kerana status minyak bumi dan gas asli itu sendiri adalah milkiyah al-ammah. Oleh kerana perusahaan atau industri tersebut memproduksi sesuatu yang berasal dari minyak bumi, maka industri tersebut merupakan sebahagian dari, dan mengikuti hukum minyak bumi sebagai milkiyah al-ammah.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Islam mewajibkan pemerintah (negara) untuk memelihara urusan dan kemaslahatan rakyat. Dalam memberikan pelayanan kepada rakyat, negara tidak boleh berfikir untuk mencari untung. Negara bukanlah pihak yang ‘berniaga’ dengan rakyat, tetapi pihak yang ‘menjaga’ rakyat. Yang harus menjadi fokus pemerintah adalah bagaimana memberikan pelayanan kepada rakyat semaksima dan sesempurna mungkin mengikut hukum syarak. Apa jua perkara yang termasuk dalam kategori pemilikan umum, maka wajib bagi kerajaan untuk mengelolanya demi kepentingan rakyat dan haram bagi kerajaan mengaut keuntungan darinya. Segala kekayaan alam tidak boleh (haram) dikuasai oleh kerajaan atau segelintir orang atau pihak swasta. Ia wajib dikelola oleh negara bukan sebagai pemilik, tetapi hanya mewakili rakyat yang mejadi pemilik sebenar kekayaan tersebut. Seluruh hasilnya mesti dikembalikan kepada rakyat, di antaranya adalah dalam bentuk pelbagai pelayanan seperti penyediaan tenaga elektrik secara percuma (atau dengan harga kos) kepada rakyat. Sesungguhnya masalah kenaikan tarif dan semua masalah yang kita hadapi ketika ini adalah berpangkal dari penerapan ideologi Kapitalisme. Selama mana ideologi kufur ini masih terus diterapkan oleh pemerintah, maka selama itulah penderitaan rakyat tidak akan pernah surut. Hanya dengan menghancurkan ideologi buatan manusia ini dan menggantikannya dengan ideologi Islam, barulah umat manusia akan dapat hidup dalam kesejahteraan, dan hal ini tidak mungkin akan berlaku jika bukan Khilafah yang memerintah negara dan dunia ini.
Share:

1 manusia berfikir:

Chat with me