GAINESVILLE 8 Sept. - Amerika Syarikat (AS) nampaknya tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang sebuah gereja kecil di Florida daripada meneruskan rancangan untuk membakar beratus-ratus naskhah al-Quran pada hari ulang tahun kesembilan serangan 11 September sekalipun perbuatan itu dikhuatiri boleh menimbulkan reaksi keras di seluruh dunia. White House semalam sekadar menyuarakan semula kebimbangan yang dibangkitkan oleh para pemimpin tenteranya bahawa langkah provokasi yang dirancang oleh gereja Dove World Outreach Center itu boleh mencetuskan kemarahan di seluruh dunia Islam dan membahayakan nyawa askar AS. "Perbuatan itu akan meletakkan askar kita dalam bahaya. Sebarang jenis aktiviti yang meletakkan askar kita dalam bahaya sudah tentunya membimbangkan pentadbiran ini," kata jurucakap White House, Robert Gibbs.
Beliau mengulangi kenyataan yang dibuat oleh komander tertinggi tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan, Jeneral David Petraeus yang memberi amaran, pembakaran kitab suci Islam itu akan dijadikan bahan propaganda oleh puak militan. "Ia boleh membahayakan askar dan membahayakan seluruh kempen kita," kata Petraeus kepada akhbar Wall Street Journal dalam kenyataan yang turut disuarakan kemudian oleh ketua NATO, Anders Fogh Rasmussen. Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton mengutuk perbuatan yang dirancangkan itu sebagai 'biadab dan memalukan'. Namun Dove World berikrar untuk terus memperingati hari ulang kesembilan serangan 11 September, 2001 pada Sabtu ini serta hampir 3,000 orang yang terbunuh dengan membakar beratus-ratus naskhah al-Quran. Meskipun pihak bomba menolak permohonan ketua paderi gereja tersebut, Terry Jones untuk mengadakan upacara pembakaran terbuka, polis tidak boleh campur tangan sehinggalah pengikut gereja benar-benar membakar kitab suci itu. Malah setelah al-Quran dibakar pun, tiada tangkapan akan dibuat kerana kesalahan melanggar ordinan tempatan hanyalah satu kesalahan kecil dan cuma saman dikeluarkan dalam kes sedemikian. Provokasi gereja itu timbul ketika merebaknya sentimen Islamofobia berpunca daripada rancangan untuk membina sebuah pusat kebudayaan Islam dan masjid di New York di satu lokasi berhampiran Ground Zero iaitu tapak runtuhan World Trade Center (WTC) yang musnah dalam serangan 11 September. Peguam Negara AS, Eric Holder menemui para pemimpin pelbagai agama semalam untuk membincangkan langkah bagi membendung sentimen anti-Islam itu, berikutan gesaan mereka supaya beliau membuat kenyataan keras mengutuk jenayah yang didorong oleh kebencian terhadap agama atau golongan tertentu. Pengarah eksekutif Muslim Advocates, Farhana Khera berkata, selepas pertemuan mereka, Holder menyifatkan rancangan untuk membakar al-Quran itu sebagai 'bodoh dan berbahaya'. Khera bagaimanapun kesal kerana pembakaran itu nanti jika dilaksanakan tidak akan melanggar undang-undang persekutuan. – AFP
Sumber: Utusan Malaysia 09/09/10
Hanya Khilafah Yang Mampu Menghalang Kuffar Yang Biadap. Jihadlah Jawabannya
Sememangnya kerajaan Amerika boleh memberi alasan bahawa mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang sebuah gereja kecil di Florida daripada meneruskan rancangan untuk membakar beratus-ratus naskhah al-Quran pada hari ulang tahun kesembilan serangan 11 September yang akan datang ini. Namun hakikatnya kerajaan kufur Amerika ini sebenarnya boleh menghalang tindakan tersebut jika mereka benar-benar ingin memberhentikan tindakan biadab tersebut. Namun, mereka tidak akan pernah berusaha menghalangnya, kerana kita tahu bahawa Amerika adalah musuh utama Islam nombor 1 di dunia saat ini. Jika mereka sedikitpun merasa tidak bersalah membunuh dan menumpahkan darah umat Islam, terutamanya di Iraq dan Afghanistan selama ini maka apalah sangat bagi mereka jika al-Quran yang menjadi kitab suci bagi umat Islam itu dibakar ataupun dimusnahkan. Suatu ketika dahulupun kita pernah dipaparkan tentang kebiadaban tentera Amerika yang mencampakkan al-Quran ke dalam lubang tandas, kini, provokasi di Florida sebenarnya adalah sesuatu yang selari dengan keinginan Amerika dan sekutu-sekutunya.
Untuk itu wahai seluruh umat Islam! Satu-satunya kuasa dan kekuatan yang boleh mengajar kebiadaban gereja Dove World Outreach Center itu dari terus menunjukkan sikap kurang ajar mereka terhadap Islam dan umat Islam adalah dengan kekuatan yang didokong oleh Khilafah. Sejarah kegemilangan Khilafah yang pernah memayungi dunia Islam selama lebih kurang 13 abad lamanya telah membuktikan bahawa hanya Khilafahlah satu-satunya intitusi politik yang pernah dan yang akan mampu membela dan menjaga Islam dan umat Islam. Untuk itu para penguasa umat Islam, termasuklah di Malaysia, sewajarnya mencontohi sikap para khalifah terdahulu. Salah satu contoh adalah sikap yang pernah ditunjukkan oleh Sultan Abdul Hamid di Turki suatu masa dahulu yang wajar dijadikan pengajaran oleh para pemerintah umat Islam saat ini. Diberitakan bahwa suatu ketika dahulu Perancis pernah merancang untuk mengadakan pertunjukan drama yang diambil dari hasil karya Voltaire. Isinya bertemakan, “Muhammad atau Kefanatikan”. Di samping mencaci Rasulullah SAW drama tersebut turut menghina Zaid dan Zainab. Ketika Sultan Abdul Hamid, khalifah Uthmaniah di saat itu, mengetahui berita tersebut melalui dutanya di Perancis, maka beliau segera mengancam pemerintah Perancis agar menghentikan pementasan drama tersebut. Beliau mengingatkan bahwa ada “tindakan politik” yang akan dihadapi oleh Perancis jika mereka tetap meneruskan dan mengizinkan pementasan tersebut. Akhirnya Perancis telah membatalkan pementasan drama tersebut.
Tidak berhenti di situ, perkumpulan teater tersebut lalu berangkat ke England. Mereka merancang untuk menyelenggarakan pementasan drama itu di sana. Mengetahui keadaan itu, Khalifah Abdul Hamid turut mengancam Inggeris. Pihak Inggeris menolak ancaman tersebut dengan alasan, tiket sudah habis dijual dan pembatalan drama tersebut adalah bertentangan dengan prinsip kebebasan (freedom) rakyatnya. Setelah mendengar sikap Inggeris tersebut, Khalifah Abdul Hamid menyampaikan amaran beliau seperti berikut, “Kalau begitu, saya akan mengeluarkan perintah kepada seluruh umat Islam dengan mengatakan bahawa Inggeris sedang menyerang dan menghina Rasul kita! Saya akan mengobarkan jihad akbar!”
Pemerintah Inggeris pun ketakutan melihat keseriusan ancaman Abdul Hamid. Mereka segera melupakan perjuangan idea berkenaan dengan kebebasan itu. Pementasan drama itu pun akhirnya dibatalkan juga sepertimana yang berlaku di Peracis sebelum dari ini.
Ini merupakan bukti yang kukuh untuk kita mengatakan, bahawa Khilafahlah satu-satunya kekuatan yang akan mampu mengajar dan membungkam kebiadaban kuffar Barat yang secara berterusan, sehingga ke hari ini, terus melakukan provokasi menghina Islam dan umat Islam. Untuk itu, wahai seluruh umat Islam! Sudah saatnya kita bergerak untuk menegakkan kembali Khilafah.
0 manusia berfikir:
Post a Comment