assalamualaikum semua . . hari ni saya nak amik satu artikel yang insyaAllah pasti akan membuat orang berfikir . kalau nak kemukakan pendapat , biarlah pendapat yang tidak melanggar hukum syara' . tidak ada pembelaan terhadap pelaku maksiat(meninggalkan perintah Allah dan melakukan larangan Allah) .
SN kali ni bertajuk
VIDEO LUCAH: POLITIK SEKULAR SEMEMANGNYA MENJIJIKKAN!!! dan ia adalah SN keluaran ke 254 . kalau korang boleh baca artikel pasal artis/gosip kenapa tidak membaca artikel yang membangun kesedaran umat ?? fikir2lah ye . . selamat membaca ;)
SN254 - VIDEO LUCAH: POLITIK SEKULAR SEMEMANGNYA MENJIJIKKAN!!!
Bersempena dengan pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak pada Isnin lepas, Malaysia turut dihidangkan dengan satu lagi episod skandal seks yang dikatakan membabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Belum pun habis perbicaraan kes liwatnya di mahkamah, kini menyusul pula sebuah lagi drama baru yang disifatkan oleh Anwar sebagai konspirasi pihak atasan untuk mengaib dan menjatuhkannya. Pada 21 Mac lepas, satu rakaman video aksi seks seorang lelaki yang didakwa pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur dipercayai dari China di sebuah hotel di ibu kota telah didedahkan kepada pihak media. Rakaman video hitam putih itu dimiliki dan didedahkan oleh satu kumpulan yang enggan dikenali dan diketuai oleh seorang yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Datuk T’. Menerusi video bertarikh 21 Februari lalu, aksi hubungan seks ahli Parlimen itu berlangsung selama kira-kira 19 minit.
Datuk T turut memiliki seutas jam tangan Omega yang dikatakan milik ahli politik itu yang didakwa diambil oleh wanita berkenaan semasa mengadakan hubungan seks pada tarikh tersebut dan menunjukkannya kepada wakil media sebagai bukti. “Jika beliau dan isteri tidak berundur daripada politik dalam masa tujuh hari selepas menerima salinan video tersebut, saya akan menyerahkannya kepada satu panel pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli forensik bagi menentukan keaslian rakaman itu. Selepas itu baru satu dunia tahu siapa beliau dan mengapa saya melakukan semua ini. Saya sudah muak dengan segala pembohongan, cukuplah dan kini masyarakat awam perlu mengetahui perkara sebenar,” tegas Datuk T [UM 22/03/11].
Apa pun motifnya, nampaknya tayangan percuma ini telah dijalankan dengan ‘prosedur’ yang amat ketat. Rakaman yang ditayangkan kepada wartawan dan pengarang media yang menggunakan komputer meja di sebuah bilik di Carcosa Seri Negara itu dilakukan secara berperingkat bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari. ‘Penonton’ juga terpaksa melalui pelbagai peringkat pemeriksaan ketat termasuk penggunaan alat pengesan logam selain diberi jubah untuk dipakai sebelum dibenarkan memasuki bilik itu. Malah, mereka terpaksa menyerahkan semua barangan seperti pen, buku nota, telefon bimbit dan kamera. Di akhir tayangan itu, Datuk T turut mengedarkan kenyataan akhbar bertajuk ‘Dato’ Seri Anwar Ibrahim’ yang antara lain menjelaskan bagaimana pita rakaman itu diperoleh. Anwar pada sidang media khas beberapa jam kemudian menafikan beliau adalah individu dalam adegan seks itu dan menyifatkan ia fitnah untuk memusnahkan karier politiknya [BH 22/03/11].
Dengan tersiarnya berita sensasi ini, beberapa orang ahli politik pengampu kerajaan terus sahaja melemparkan kenyataan yang mempercayai bahawa pelaku adegan seks tersebut adalah Anwar Ibrahim. Ada pula yang cuba menimbulkan keraguan kepada masyarakat atas tindakan pantas Anwar membuat sidang media yang menafikan beliau adalah orangnya. Tidak kurang yang berpendapat bahawa Anwar cuba mengalihkan isu ini dari perhatian orang ramai dengan isu DNA yang sedang dihadapinya. Terbaru, identiti Datuk T telah dikenal pasti apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik tampil dengan sidang media dan mengakui bahawa beliau dan dua orang rakannya, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang juga seorang ahli perniagaan dan Datuk Shuib Lazim, Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) adalah mereka yang bergelar Datuk T yang merujuk kepada ‘Trio’ [UM 24/03/11].
Hukum Menonton Filem Porno
Sesungguhnya pendedahan video ini telah menjadi satu lagi bukti betapa jijiknya politik sekular yang diamalkan pada hari ini. Sebelum kita berbincang lebih lanjut tentang persoalan video lucah ini yang cuba dijadikan ‘bukti’ untuk menuduh seseorang dengan kesalahan zina, kita perlu merungkai terlebih dulu apakah hukum Islam tentang menonton video lucah. Menurut Syeikh Atha’ Abu Rasytah, hukum menonton filem porno atau apa jua bentuk filem lucah adalah haram, meskipun yang ditonton itu hanya dalam bentuk imej dan bukannya orang yang sebenar. Dalil keharamannya adalah berdasarkan kaidah fiqh ‘al-wasilah ila al-haram, haram’ (jalan/sarana yang boleh membawa kepada keharaman, hukumnya adalah haram). Menurut beliau, pemakaian kaedah ini tidak mensyaratkan bahawa sarana itu mesti mengakibatkan (menghasilkan) keharaman secara qath’ie (pasti), tetapi cukup sekadar adanya ghalabat az-dzan (dugaan kuat) bahawa sarana itu akan mengakibatkan keharaman. Pada umumnya, filem porno akan mendorong penontonnya melakukan keharaman (kerana ia boleh membangkitkan rangsangan seksual) sehingga boleh terjadinya keharaman yang lain (seperti muqaddimah zina dan perzinaan itu sendiri). Oleh itu, kaedah fiqh tersebut dapat diaplikasikan dalam keadaan ini yang menjadikan hukum menonton filem porno adalah haram [Ajwibah As’ilah, 10/10/2006].
Di dalam kes yang didedahkan oleh ketiga orang datuk ini pula, menonton filem tersebut bukan sekadar boleh menimbulkan kesalahan dari aspek di atas, malah ia boleh menyebabkan berlaku dan tersebarnya fitnah ke atas seseorang yang belum terbukti bersalah. Ternyata, sebelum Anwar diputuskan bersalah, telah pun wujud pihak-pihak yang telah meletakkan beliau di dalam kesalahan dengan menuduhnya sebagai ‘aktor’ di dalam filem tersebut. Ini menyalahi kaedah syarak yang masyhur yang berbunyi al-aslu bara’at az-dzimmah (seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan). Di dalam keghairahan pihak-pihak tertentu ingin ‘mengenakan’ ketua pembangkang itu, mereka umpama dirasuk syaitan kerana sudah tidak ada lagi perasaan malu dan takut untuk berbuat dosa. Dosa apakah yang dimaksudkan di sini? Dosa di dalam mengajak manusia untuk menonton filem lucah secara beramai-ramai!!! Tidak kiralah siapa pelaku dan pelakon di dalam filem jijik tersebut, menontonnya tetaplah merupakan suatu dosa, malah perbuatan mengajak dan menonton filem porno tersebut secara beramai-ramai itu, sungguh lebih jijik rasanya!!! Bagi yang mengajak, sesungguhnya sudah hilang maruah dan sifat malunya kepada Allah, dan bagi yang diajak pula, kenapakah sanggup memenuhi ajakan haram ini? Apa pun motifnya, sebelum pihak-pihak terbabit cuba membuktikan kesalahan dan dosa Anwar, mereka nampaknya telah terlebih dahulu menjerumuskan diri sendiri ke lembah hina dan dosa dan merekalah yang seharusnya dihukum terlebih dahulu!
Bolehkah Rakaman Video Dijadikan Bukti?
Di dalam Sautun Nahdhah yang baru lepas (SN253) kami telah pun menerangkan bahawa “bukti” dalam kes zina hanya ada tiga jenis sahaja. Rakaman video tidak boleh dijadikan sebagai bukti dalam kes perzinaan. Ketiga-tiga jenis pembuktian tersebut adalah:-
(i) Pengakuan (al-iqrar) iaitu pengakuan daripada pelaku zina dengan pengakuan yang penuh kesedaran dan jelas (tanpa sebarang kesamaran) dan tanpa menarik balik pengakuan tersebut
(ii) Kesaksian (asy-syahadah) iaitu kesaksian daripada empat orang lelaki Muslim yang adil, yang menyaksikan perzinaan berlaku dengan jelas, ibarat ‘timba masuk ke dalam perigi’
(iii) Khusus untuk perempuan, kehamilannya yang terhasil bukan dari perkahwinan yang sah [lihat juga Abdurrahman al-Maliki, Nizham al-‘Uqubat, hal. 17-19; Ahmad Ad-Da’ur, Ahkamul Bayyinat, hal. 19; Abdul Qadir ‘Audah, At-Tasyri’ al-Jina`i al-Islami, hal. 395-440].
Syeikh Abdurrahman al-Maliki menegaskan bahawa tidak ada lagi pembuktian lain untuk kes zina selain daripada yang tiga di atas. Beliau memberikan contoh bahawa kesaksian para doktor akan seorang perempuan yang hilang keperawanannya bukanlah merupakan bukti dan tidak boleh dijadikan bukti untuk kes perzinaan. Walaupun seseorang hakim telah yakin seratus peratus bahawa seseorang perempuan itu telah berzina hasil dari keterangan doktor-doktor tadi, namun hakim tetap tidak boleh menjatuhkan hukuman kerana tidak didukung oleh salah satu daripada tiga bentuk bukti di atas.
Terdapat hadis di mana pernah suatu ketika Rasulullah SAW telah meyakini bahawa seorang perempuan telah berzina tetapi baginda tidak menjatuhkan hukuman disebabkan ketiadaan bukti (tiga bentuk bukti di atas). Daripada Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Jika sekiranya aku dibolehkan untuk merejam seseorang tanpa bukti, nescaya sudah pasti aku akan merejam si fulanah itu, kerana dapat dilihat dari gelagat zinanya (melalui) cara percakapannya, gerak geri tubuhnya dan orang yang pernah menggaulinya” [HR Ibnu Majah, no 2559, lihat Imam Syaukani, Nailul Authar, Beirut: Dar Ibn Hazm, hal. 1471, hadis sahih].
Justeru, jika Rasulullah SAW sendiri (yang diberi wahyu) tidak boleh menghukum seseorang tanpa bukti, maka apatah lagi dengan orang biasa, baik dia adalah seorang Khalifah mahupun seorang qadhi (hakim). Rasulullah SAW mengajar kita bahawa untuk menghukum seseorang, ia mestilah berdasarkan bukti dan ‘bukti’ yang dimaksudkan di sini adalah bukti yang syar’ie (yang boleh diterima oleh syarak) bukannya bukti menurut undang-undang taghut seperti yang diamalkan pada hari ini.
Daripada penerangan nas-nas di atas, maka adalah jelas bahawa rakaman video tidak boleh dijadikan bukti untuk kes perzinaan, meskipun video tersebut telah dibuktikan dan disahkan keasliannya seratus peratus oleh pakar. Ini adalah kerana, pembuktian kes zina dengan cara ini adalah tidak sah secara syar’ie, kecuali dengan dibuktikan melalui salah satu daripada tiga cara pembuktian di atas. Walaupun video bukanlah alat pembuktian dalam kes perzinaan, namun demikian rakaman video tersebut boleh dimanfaatkan sebagai usaha untuk memperoleh pengakuan (al-iqrar) daripada si tertuduh yang melakukan zina. Usaha tersebut adalah dibolehkan selama mana cara yang digunakan untuk memperoleh pengakuan itu tidak dilakukan dengan paksaan (al-ikrah), baik secara paksaan fizikal (seperti pukulan) ataupun bukan fizikal (seperti ugutan). Ini adalah kerana syarat terpenting daripada pengakuan adalah ikhtiyar (tidak wujudnya paksaan). Perlu difahami bahawa walaupun video yang ada itu boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan pengakuan dari si tertuduh, namun ini sekali-kali tidak melepaskan orang yang terlibat di dalam membuat rakaman dan menyebarkan video tersebut, daripada dosa.
Di dalam Islam, usaha untuk mendapatkan pengakuan adalah dibolehkan berdasarkan hadis riwayat Imam Tarmizi daripada Anas ra, bahawa pernah seorang Yahudi memecahkan kepala seorang hamba perempuan dengan batu dan mengambil alat perhiasannya. Lalu hamba perempuan yang hampir mati itu dibawa kepada Nabi SAW. Nabi SAW pun bertanya,
“Siapakah yang (ingin) membunuhmu? Adakah si fulan si fulan?’ Perempuan itu memberikan isyarat (jawapan) ‘tidak’ dengan gerakan kepalanya. ‘Adakah si fulan si fulan?’ tanya Nabi SAW lagi, sehinggalah Nabi menyebut nama seorang Yahudi lalu perempuan itu mengiyakan dengan isyarat gerakan kepalanya. Nabi SAW pun meminta supaya dipanggil Yahudi tersebut dan dia pun mengakui perbuatannya. Nabi SAW kemudian memerintahkan supaya dipecahkan kepala Yahudi itu dengan dua batu” [Imam Syaukani, Nailul Authar, Beirut: Dar Ibn Hazm, hal. 1411, no 3031, hadis sahih].
Namun perlu diperhatikan di sini bahawa pengakuan hanya dikira sah apabila ia dilakukan secara sedar, suka rela dan tanpa paksaan dan yang lebih penting, ia hendaklah dibuat di hadapan qadhi di dalam mahkamah atau dalam sidang pengadilan, bukannya diluar sidang pengadilan. Pengakuan yang dibuat di luar sidang pengadilan adalah tidak diterima [Ahmad ad-Daur, Ahkamul Baiyyinat].
Di dalam prosiding di mahkamah, si tertuduh boleh ditanya sama ada dia mengaku bersalah atau tidak di atas pertuduhan yang dikenakan. Usaha ini boleh dijalankan melalui proses yang dikenali sebagai pemeriksaan balas (cross examination), iaitu dengan mengajukan bermacam-macam bentuk soalan kepada tertuduh berdasarkan qarinah (indikasi) yang ada (contohnya gambar, video dan sebagainya). Setiap jawapan penafian boleh disoal lagi dengan soalan balas yang lain, lalu dibandingkan dengan kesemua jawapan yang telah diberikan, sehingga tertuduh dapat merasakan bahawa sudah tidak ada satu ruang lagi pun untuk dia melakukan pembohongan. Juga, soalan-soalan boleh diajukan kepada tertuduh hasil dari testimoni beberapa orang penyiasat dan pakar-pakar, sehinggalah tertuduh mengaku secara sukarela bahawa dia telah melakukan kesalahan tersebut. Soalan-soalan boleh diajukan sehingga tertuduh tidak lagi dapat mengelak dari berbohong memandangkan jawapan yang diberikannya akan bertentangan dengan kesemua qarinah yang ada sekiranya dia berbohong. Dengan demikian, diharapkan agar tertuduh akhirnya akan mengakui perbuatannya secara sukarela.
Namun, perlu diperhatikan di sini bahawa, walaupun terdapat percanggahan di dalam jawapannya (kerana pembohongannya), tetapi selama mana dia tidak mengaku salah atau tiada bukti lain yang menunjukkan dia bersalah, maka dia tidak boleh dihukum. Kerana untuk menghukum seseorang, wajib bagi qadhi memutuskannya berdasarkan bukti dan qadhi sekali-kali tidak boleh menghukum atau mensabitkan seseorang tanpa bukti yang syar’ie. Disimpulkan bahawa, meskipun rakaman video boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan pengakuan, namun, segala ini hendaklah berjalan di mahkamah, bukan di luar sidang pengadilan. Justeru, tindakan menayangkan video kepada orang luar adalah satu kesalahan yang jelas menurut Islam, apatah lagi apabila ia ditunjukkan kepada sekumpulan wartawan, hal ini jelas menunjukkan ada motif-motif tertentu yang ingin diraih, bukannya untuk mencari keadilan terhadap orang yang dituduh. Sekali lagi diingatkan dan ditekankan di sini bahawa mahkamah yang dimaksudkan di sini hendaklah mahkamah yang menjalankan hukum Islam, bukannya mahkamah sivil mahupun mahkamah syariah yang ada sekarang yang menjalankan hukum taghut (selain Islam).
Walaupun hukum asal menonton video lucah ini adalah haram, namun dikecualikan dari keharaman menonton filem ini adalah pihak-pihak yang mempunyai hajat syar’iyah (keperluan syar’i), iaitu keperluan yang memang dibenarkan oleh hukum syarak untuk berbuat demikian. Misalnya qadhi (hakim) yang membicarakan kes, peguam (yang mewakili tertuduh), para pakar forensik dan pihak-pihak lain yang benar-benar perlu melihat video tersebut dalam rangka pemeriksaan (siasatan) untuk membuktikan kesahihannya. Pengecualian ini hanyalah sekadar untuk pemeriksaan, bukannya bertujuan untuk mendapatkan kenikmatan syahwat di dalam menontonnya. Hal ini dibenarkan berdasarkan dalil hadis dan Ijma’ Shahabat. Diriwayatkan ketika Nabi SAW mengangkat Sa’ad bin Muadz sebagai hakim untuk menghukum mati kaum lelaki Yahudi Bani Quraizah, Sa’ad telah membuka kain mereka untuk mengetahui sama ada mereka sudah baligh atau belum [HR Al-Hakim dan Ibnu Hibban]. Pada zaman Khalifah Utsman, seorang pencuri lelaki telah tertangkap, lalu Utsman memerintahkan para sahabat untuk melihat aurat di balik kainnya. Ternyata bulu kemaluan si pencuri itu masih belum tumbuh menyebabkan Utsman tidak memotong tangan si pencuri [HR Baihaqi]. Perbuatan Utsman ini diketahui oleh para shahabat dan tidak ada yang mengingkarinya sehingga ia menjadi Ijma’ Shababat [Taqiyuddin an-Nabhani, an-Nizham al-Ijtima’i fi al-Islam, hal. 40]. Hadis-hadis ini membolehkan melihat aurat (secara langsung) sekiranya ada keperluan yang dibenarkan oleh syarak. Justeru, melihat ‘gambar/imej’ aurat seperti filem porno juga diperbolehkan dalam keadaan wujudnya keperluan yang dibenarkan syarak seperti pemeriksaan oleh hakim, peguam, para pakar dan seumpamanya.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Kekejian dan kejijikan politik sekular semakin hari semakin terserlah. Manusia sudah hilang sifat malunya, apatah lagi rasa takut kepada Allah, kesemuanya sudah tercampak jauh dari peribadi Muslim, hanya semata-mata kerana ingin meraih kepentingan tertentu. Cubaan dan usaha untuk saling menjatuhkan antara satu sama lain sudah sebati dengan politik sekular dan telah lama mendarah daging dalam diri para politikus. Politik kini bukan lagi dijadikan hal-ehwal untuk mengurus rakyat mengikut kehendak Allah, tetapi ia digunakan untuk menjatuhkan sesama Muslim yang menjadi pihak lawan baginya. Di dalam politik sekular ini, sudah tidak ada lagi perasaan hormat-menghormati, persaudaraan dan kasih-sayang sesama Muslim....yang ada hanyalah perasaan benci dan dendam kesumat untuk menjatuhkan orang lain dan menaikkan diri sendiri. Inilah akibatnya apabila seseorang itu menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhannya.
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)” [TMQ al-Furqan (25):43-44].
Na’uzubillah min zalik.