04 October 2010

SN232 - DUNIA MENDERITA KERANA PBB

DUNIA MENDERITA KERANA PBB

[SN232] Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sudah tiba masanya semua negara dan agama kembali kepada kesederhanaan dalam mendokong agenda keamanan sekali gus menghapuskan ekstremis dalam kerangka membina dunia yang lebih aman, selamat dan adil. Ketika menekankan perkara itu yang dirujuknya sebagai Gerakan Global Ke Arah Kesederhanaan pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Ke-65 di Ibu Pejabat PBB tempoh hari, langkah itu akan menyelamatkan masyarakat antarabangsa daripada terjerumus ke dalam jurang kehancuran dan kedurjanaan, “Saya ulangi, komitmen Malaysia ke arah itu. Kami amat yakin semua negara tanpa mengira kecil atau besar, kaya atau miskin, kuat atau lemah, mempunyai tanggungjawab bersama ke arah mewujudkan dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang”. Katanya lagi, cabaran utama yang dihadapi masyarakat antarabangsa sekarang ialah perlunya menghadapi semua itu secara bersama bagi memastikan keadilan, kesaksamaan dan keamanan yang berterusan. “Isu sebenar bukannya antara orang Islam dan bukan Islam tetapi antara kesederhanaan dan ekstremis membabitkan semua agama sama ada Islam, Kristian ataupun Yahudi [UM 28/09/10].

Dengan meneliti ucapan Najib di PBB, nampaknya Perdana Menteri Malaysia ini masih terus percaya dan menaruh harapan kepada badan kufur terbesar di dunia itu. Najib juga dalam ucapannya menaruh keyakinan bahawa PBB adalah badan antarabangsa yang berfungsi sebagai pembawa keamanan dan kesejahteraan dunia. Sungguh mengecewakan apabila di dalam ucapan sulungnya di PBB sebagai Perdana Menteri, Najib menunjukkan sikap bahawa Malaysia menaruh harapan tinggi bahawa dunia akan menjadi lebih baik melalui peranan yang dimainkan oleh PBB. Isu ekstremis yang didendangkan Najib juga menunjukkan betapa pemikiran beliau masih tegar berada di bawah pengaruh dan belenggu kempen keganasan oleh Amerika Syarikat (AS) yang cuba melabelkan manusia, khususnya umat/gerakan Islam yang menjadi musuhnya, sebagai ekstremis. Apakah Perdana Menteri Malaysia ini masih tidak sedar bahawa PBB hanyalah sebuah kuda tunggangan AS yang telah digunakan untuk memerangi umat Islam selama ini? Malah kewujudan PBB itu sendiri (yang asalnya bermula dari gabungan International Family kemudian menjadi League of Nations, kemudian ditukar kepada United Nations) adalah hasil rekayasa negara-negara Kristian Eropah yang berusaha menjatuhkan Daulah Islam. Sejak mula ditubuhkan lagi, baik dari segi undang-undang mahupun politik, PBB merupakan sebuah organisasi yang tertolak oleh akal yang waras. Adakah logik apabila ratusan negara yang berada di dalamnya (yang dikatakan ‘bersatu’) tetapi kata pemutus (veto) hanyalah terletak kepada 5 negara kuasa besar iaitu AS, Britain, Perancis, Rusia dan China yang menguasai Dewan Keamanan (Security Council) yang merupakan organ tertinggi dalam badan kufur dunia itu? Sesungguhnya PBB tidak ubah umpama sebuah tempat di mana berhimpunnya ratusan kambing bersama 5 ekor harimau di dalam kandang yang sama. Di situlah tempat santapan lazat bagi sang harimau untuk membaham mangsanya yang telah bersedia menyerahkan tengkuk masing-masing.

Sebab-sebab Penderitaan Dunia

Tidak diragukan lagi dunia telah dan sedang mengalami penderitaan yang amat parah kerana ulah negara-negara adidaya (super power), iaitu sejak mereka mencengkam dunia dengan kekuatan yang mereka miliki. Dunia juga menderita disebabkan apa yang mereka (negara-negara adidaya ini) cipta berupa konsep Keluarga Antarabangsa (International Family) atau Komuniti Antarabangsa (International Community). Dunia juga menderita kerana penjajahan yang muncul sejak adanya ideologi kapitalisme, yakni sejak munculnya imperialisme. Dunia akan terus menderita selama mana (i) ‘mitos’ Komuniti Antarabangsa atau Keluarga Antarabangsa masih ada (ii) selama mana negara-negara adidaya masih terus bersaing untuk mencengkam dunia dan (iii) selama mana imperialisme masih ada, meskipun bentuk dan caranya berubah-ubah. Kerana itu, membebaskan dunia dari penderitaan yang menimpanya dan menempatkannya pada jalan kebahagiaan tidak akan mungkin dicapai, kecuali jika tiga perkara ini telah diselesaikan.

Tentang Komuniti Antarabangsa, sesungguhnya asas lahirnya idea ini adalah batil. Ia bermula dengan himpunan negara-negara Kristian di Eropah Barat yang muncul untuk membentuk sebuah organisasi yang mampu menghadapi Daulah Khilafah. Kemudian bergabunglah bersamanya negara-negara Kristian di Eropah Timur sehingga terbentuklah komuniti negara-negara Kristian Eropah. Ini berlangsung sejak abad ke-16 (yakni sejak Daulah Islam memiliki kekuatan yang dapat melumpuhkan Eropah) sehingga separuh kedua abad ke-19 (tahun 1856), ketika Daulah Islam telah melemah sehingga disebut sebagai ‘The Sick Man of Europe’ (Orang Sakit Eropah). Pada saat itu muncul konspirasi untuk membahagi-bahagi ‘pusaka’ orang sakit itu, iaitu membahagi-bahagi wilayah kekuasaan Daulah Khilafah. Selama jangka waktu kira-kira hampir 3 abad tersebut, Komuniti Antarabangsa diertikan sebagai Komuniti Kristian dan merupakan musuh Daulah Islam. Meskipun komuniti ini hanya terbatas pada negara-negara Kristian sahaja, malah lebih tepat negara-negara Kristian di Eropah sahaja, dan mereka pun tidak membolehkan negara-negara non-Kristian masuk ke dalamnya, tetapi mereka menyebutnya sebagai Keluarga Antarabangsa dan Komuniti Antarabangsa. Mereka melekatkan sifat ‘antarabangsa’ pada komuniti tersebut lalu membatasi pembahasan ‘urusan-urusan antarabangsa’ hanya pada komuniti tersebut, bukan pada komuniti lainnya. Oleh kerana komuniti ini telah diberi sifat ‘antarabangsa’, maka mereka pun berusaha melestarikan sifat antarabangsa ini di dalam tubuh mereka dan membincangkan isu-isu antarabangsa seolah-olah mereka sahajalah yang layak untuk berbuat demikian.

Untuk mengatur dan memastikan komuniti ini terus wujud, disusunlah pula prinsip-prinsip tradisional yang kemudian disebut sebagai ‘Undang-undang Antarabangsa’. Mereka memfokuskan kesepakatan-kesepakatan antarabangsa yang berlaku di antara negara-negara Kristian dan juga konvensyen-konvensyen (kebiasaan-kebiasaan) yang menjadi acuan di dalam masyarakat Kristian. Dari itu semua, mereka lalu membuat prinsip-prinsip yang mereka jadikan prinsip antarabangsa, atau apa yang disebut sebagai ‘Undang-undang Antarabangsa’. Walhal, Komuniti Antarabangsa pada asalnya dibangun atas dasar kekeluargaan di antara negara-negara Kristian Eropah semata-mata. Undang-undang Antarabangsa pun pada mulanya juga hanyalah berupa perjanjian-perjanjian yang berlaku di antara negara-negara Kristian sahaja. Amat jelas bahawa penggunaan istilah ‘Komuniti Antarabangsa’ oleh negara-negara Kristian (pada waktu itu) yang hanya merujuk kepada negara-negara Kristian Eropah sahaja dapat dianggap sebagai suatu pembohongan dan penyesatan yang nyata. Ini adalah kerana hakikatnya, dunia ini bukanlah hanya terdiri dari komuniti negara-negara Kristian Eropah semata-mata. Begitu juga dengan penggunaan istilah ‘Undang-undang Antarabangsa’ yang hanya digunakan untuk merujuk kepada pelbagai perjanjian dan konvensyen negara-negara Kristian sahaja, semua ini merupakan kebohongan dan kedustaan. Selayaknya, pemikiran yang harus dijadikan Undang-undang Antarabangsa bukanlah perjanjian dan konvensyen di kalangan negara-negara Kristian semata-mata, tetapi ia haruslah diasaskan oleh seluruh konvensyen, kesepakatan dan perjanjian dari seluruh masyarakat yang ada di dunia secara keseluruhan. Kerana itu, konsep Komuniti Antarabangsa yang ada sekarang dilihat dari asasnya adalah salah. Begitulah juga dengan Undang-undang Antarabangsa yang lahir dari situ, sama-sama wujud atas asas yang salah.

Negara-negara Kristian pada ketika itu tidak mahu menerima penggabungan negara-negara lain ke dalam komuniti mereka. Hanya pada separuh kedua abad ke-19, barulah mereka mula menerima keanggotaan sebahagian negara-negara non-Kristian ke dalamnya. Namun, mereka tetap tidak menerima prinsip lain untuk digunapakai kecuali prinsip-prinsip tradisional yang telah mereka tetapkan sebagai asas bahawa mereka adalah negara-negara Kristian. Kerana itulah (pada waktu itu) mereka menuntut Daulah Uthmaniyyah untuk meninggalkan hukum Islam dalam urusan antarabangsa dan mensyaratkan hal itu (meninggalkan hukum Islam) bagi Daulah Uthmaniyyah jika ingin bergabung ke dalam Komuniti Antarabangsa. Negara-negara Kristian itu tidak mahu menyetujui masuknya Daulah Islam kecuali setelah Daulah Uthmaniyyah menerima persyaratan itu. Kesilapan Khilafah saat itu adalah apabila ia tunduk kepada prinsip-prinsip tradisional yang berlaku di kalangan negara-negara Kristian Eropah. Walaupun komuniti Kristian telah membuka ruang untuk negara-negara lain (selain negara Kristian) bergabung ke dalam komunitinya, namun mereka tetap tidak bertolak ansur sama sekali jika adanya pengaruh dari prinsip-prinsip dan konvensyen-konvensyen lainnya (selain dari yang telah mereka tetapkan) di dalam ‘hubungan antarabangsa’ sesama mereka. Beginilah keadaannya sehinggalah berakhir Perang Dunia I dan Daulah Khilafah dihancurkan.

Pasca Perang Dunia I negara-negara Kristian telah sepakat untuk mewujudkan sebuah organisasi antarabangsa yang akan ‘menjelmakan’ Komuniti Antarabangsa itu. Namun pada awalnya mereka belum menjadikan organisasi itu bersifat umum untuk seluruh negara di dunia, tetapi masih terbatas untuk negara-negara tertentu sahaja. Oleh itu, mereka hanya menerima sebahagian negara-negara non-Kristian dan non-Eropah namun tetap tidak menerima kecuali prinsip-prinsip tradisional yang diamalkan negara-negara Kristian Eropah sahaja. Mereka tidak mempedulikan konvensyen dan pemikiran negara-negara lain di dunia. Oleh kerana istilah ‘Komuniti Antarabangsa’ adalah merujuk kepada negara-negara Kristian Eropah, maka masuknya negara-negara lain (selain negara Kristian) ke dalam League of Nations ( Liga Bangsa-Bangsa, LBB) memberi erti bahawa mereka telah diterima masuk ke dalam ‘Komuniti Kristian Antarabangsa’. Begitulah nasib yang menimpa Daulah Islam yang telah terjerumus ke dalam komuniti tersebut.

Kemudian, setelah berdirinya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1945, wujud keinginan untuk membatasi keanggotaannya hanya pada negara-negara yang terjun ke dalam peperangan melawan Jerman iaitu negara-negara Kristian dan negara-negara lain yang mengikutinya. Akan tetapi, oleh kerana Amerika Syarikat (AS) ingin memperluas pengaruhnya di dunia dan memasukkan negara-negara di dunia di bawah hegemoninya, AS memperluas keanggotaan PBB dan membolehkan negara-negara di dunia untuk masuk ke dalamnya. Namun demikian, AS dan negara-negara Kristian lainnya tetap tidak mengkompromi prinsip mana pun untuk masuk ke dalam Undang-Undang Antarabangsa dan peraturan PBB itu kecuali prinsip-prinsip kufur ciptaan mereka sahaja dan inilah yang dijadikan asas peraturan PBB dan juga Undang-undang Antarabangsa. Bahkan, Blok Timur di bawah kepemimpinan Rusia, meskipun mereka meyakini ideologi Komunisme (yang bertentangan dengan peraturan Kapitalis dan prinsip-prinsip negara Kristian) tetap sahaja tidak mampu sedikit pun mengubah asas peraturan antarabangsa itu. Blok Timur juga tidak mampu memasukkan walau sebahagian pemikiran (sosialis)nya ke dalam peraturan antarabangsa ini. Begitulah bagaimana kuatnya dominasi ideologi Kapitalisme dan undang-undang kufur ciptaan mereka mendominasi PBB, sehinggalah sekarang.

Dari itu, prinsip-prinsip tradisional negara-negara Kristian (atau negara-negara Kapitalis) inilah yang kini mencengkam komuniti manusia di seluruh dunia dan menyebabkan penderitaan yang tidak berkesudahan sehingga kini. Mereka mengabaikan sama sekali pelbagai konvensyen dan pemikiran negara-negara lain apatah lagi jika menyentuh pemikiran atau undang-undang Islam. Pada hakikatnya, pertubuhan dunia yang wujud pada hari ini tetap sahaja didominasi oleh pemikiran dan undang-undang kufur walau berapa banyak sekalipun negara-negara umat Islam telah menyertainya. Kerana itulah, kita mestilah memahami dan menilai kembali konsep Komuniti Antarabangsa ini yang kononnya menghimpunkan negara-negara yang ‘bersatu’ di bawahnya. Jelas sekali bahawa ini merupakan salah satu penyebab utama kepada penderitaan dunia kerana demi sesungguhnya sebuah pertubuhan kufur antarabangsa yang dilunasi dengan undang-undang kufur tidak akan dapat membawa keadilan apatah lagi untuk mensejahterakan dunia, malah sebaliknya ia akan pasti mengakibatkan kerosakan demi kerosakan. Mana mungkin sebuah badan kufur dan undang-undang kufur boleh membawa keadilan dan keamanan kepada dunia?

Suatu hal yang menambahkan lagi penderitaan dunia, khususnya ke atas dunia umat Islam, negara-negara kuffar ini tidak hanya menyerahkan urusan pelaksanaan prinsip-prinsip tradisional tersebut (yang mereka panggil sebagai Undang-Undang Antarabangsa) kepada hukuman moral (moral sanction) sahaja, bahkan negara-negara kapitalis itu memaksa penerapan prinsip-prinsip ini dengan kuku besi. Negara-negara adidaya yang menguasai pertubuhan dunia ini telah menjadikan diri mereka sebagai badan (‘polis’) yang menjaga keamanan dan peraturan di kalangan masyarakat antarabangsa dan melakukan campurtangan ke atas negara-negara lain ketika tampak ada ‘ancaman keamanan atau pelanggaran peraturan’. Negara-negara Kristian Barat, baik secara kolektif atau secara unilateral, telah menjadikan diri mereka sebagai ‘polis dunia’ untuk menerapkan peraturan antarabangsa. Ini berlangsung sehinggalah terbentuknya LBB. Kemudian setelah terbentuknya PBB, negara-negara kapitalis ini tetap menjadikan diri mereka sebagai polis dunia untuk melaksanakan peraturan dan Undang-Undang Antarabangsa. Itulah yang menyebabkan AS dan Britain masuk ke Timur Tengah pada tahun 1958 dengan menurunkan pasukan-pasukan AS di Lebanon dan pasukan-pasukan Britain di Jordan. Demikian pula halnya ketika AS dan Britain memerangi Irak pada tahun 2003 dan banyak lagi contoh lainnya di mana mereka memerangi negara umat Islam atas alasan menjaga keamanan dunia! [sila baca perbincangan menyeluruh tentang sebab-sebab penderitaan dunia di dalam kitab Mafahim Siyasiyah Li Hizbut Tahrir].

Semua ini tidak lain adalah merupakan contoh bahawa negara-negara kapitalis telah menjadikan diri mereka sebagai polis dunia untuk melaksanakan Undang-Undang Antarabangsa, atau apa yang mereka sebut sebagai the world order (Tata Dunia). Sejak jatuhnya Daulah Khilafah dan setelah pertubuhan dunia dan undang-undang dunia dikuasai sepenuhnya oleh puak kuffar Kapitalis ini, maka hingga kini dunia terus dihimpit kesengsaraan dan penderitaan kerana hukum-hukum kufur terus menjadi penaung dunia, bukannya hukum-hukum Allah. Orang buta sekalipun mengetahui bahawa PBB hanyalah sebuah badan yang senantiasa dipergunakan dan memberi kepentingan kepada puak kuffar sahaja. PBBlah yang melahirkan Israel dan PBBlah yang mengenakan pelbagai sekatan ke atas negara umat Islam sehingga berlaku korban dan penderitaan yang tidak berkesudahan. AS yang kini menguasai PBB melakukan penjajahan baik secara langsung mahupun tidak langsung ke atas negara umat Islam, namun PBB diam membatu. Umat Islam diperangi dan dibunuh sesuka hati, malah sering berlaku pembunuhan beramai-ramai secara brutal ke atas umat Islam, namun badan dunia itu tetap membisu. Kekayaan negara umat Islam dikaut dengan lahap dan habis-habisan oleh imperalis Barat, namun Komuniti Antarabangsa yang bergelar PBB itu tetap sahaja menonton dan ‘merestuinya’. Inilah realiti PBB!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sedarlah bahawa pemimpin kalian hari ini hanyalah pak turut kepada PBB dan juga Amerika. Dunia Islam menderita kerana metafora extremism dan terrorism yang dilaung Barat disambut baik oleh para pemimpin kalian. PBB menjadi ‘mesin pemusnah’ umat Islam di mana AS adalah pengendali dan para pemimpin umat Islam menjadi pembantu-pembantunya. Sungguh, dunia ini tidak akan pernah aman selama mana masih wujud para pemimpin Islam yang berharap kepada pertubuhan kufur dan berucap di pentas kufur seperti PBB. Dengan ketundukan mereka kepada kehendak Barat, mereka sebenarnya telah menjadi penyumbang besar kepada penderitaan dunia, khususnya ke atas umat Islam itu sendiri. Pemimpin inilah yang sebenarnya menjadi pengancam kepada keamanan dan kesejahteraan umat Islam kerana mereka menginginkan keamanan bagi puak kuffar dengan cara-cara yang telah digariskan oleh puak kuffar! Mereka tidak melaksanakan jihad ke atas Barat sebaliknya berbaik dengan Barat yang jelas-jelas merupakan musuh Allah. Mereka akan melabel gerakan Islam sebagai ekstremis dan teroris sebelum Barat sendiri berbuat demikian. Sesungguhnya Barat dan pemimpin yang berkiblatkan Barat, merekalah sebenar-benar penghalang kepada kebangkitan Islam dan menjadi penyebab kepada penderitaan dan kesengsaraan dunia. Sesungguhnya tidak ada jalan lain untuk menghapuskan semua penderitaan dunia kecuali dengan mengembalikan semula Daulah Khilafah ke persada politik antarabangsa yang akan menaungi dunia dengan hukum Allah.
Share:

0 manusia berfikir:

Post a Comment

Chat with me