19 October 2010

SN234 - SIAPA YANG AKAN MEMBEBASKAN DR. AAFIA SIDDIQUI?

SIAPA YANG AKAN MEMBEBASKAN DR. AAFIA SIDDIQUI?
 

[SN234] Di saat pelbagai penderitaan yang melanda dunia, khususnya dunia Islam, baik dari segi kemiskinan, jenayah, peperangan, penahanan, penyeksaan, pembunuhan, pengkhianatan dan sebagainya yang masih tidak berkesudahan, terdapat sekelompok puak yang masih tidak peduli itu semua dan terus tenggelam dalam seribu macam kenikmatan dan kemewahan serta terus berusaha mengejar publisiti dan glamour. Setelah menggelar dirinya sebagai ‘Wanita Pertama’ Malaysia, isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor telah berusaha bersungguh-sungguh menganjurkan Sidang Kemuncak Wanita Pertama (First Lady Summit) di Kuala Lumpur. Sebagai rakyat, kita harus mempersoalkan untuk apakah Sidang Kemuncak ini diadakan dengan menghabiskan banyak duit rakyat?
Apakah keuntungan yang diperolehi oleh rakyat dengannya? Kita juga harus mempersoalkan berapa juta Ringgit Malaysia-kah yang telah dibelanjakan untuk mengadakan Sidang Kemuncak yang tidak berfaedah itu dan dari manakah peruntukan tersebut datang? Harakahdaily.com melaporkan bahawa sebelum ini, Rosmah telah menimbulkan kekeliruan apabila menyiarkan iklan bernilai RM1.5 juta di akhbar The New York Times di Amerika dan menamakan beliau sebagai wanita pertama Malaysia. Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib terpaksa membuat penjelasan di Parlimen dan mempertahankan gelaran tersebut untuk isteri beliau itu. Persidangan Wanita Pertama yang bermula pada 10 Oktober di hotel Palace of The Golden Horses itu disertai 15 Wanita Pertama dan enam wakil Wanita Pertama dan 20 orang menteri yang bertemakan “Hari Ini Kanak-kanak, Esok Pemimpin”. Walaupun persidangan ini ternyata tidak mendapat sambutan (hanya 15 dari 196 negara), namun di akhir persidangan tiga hari itu, satu deklarasi telah dibuat yang akan dikemukakan oleh Rosmah kepada badan kufur terbesar dunia iaitu PBB.  

Menurut Wikipedia, gelaran ‘First Lady’  adalah berasal dari Amerika Syarikat pada tahun 1849 apabila Presiden AS ketika itu, Zachary Taylor menggelar Dolley Madison sebagai ‘First Lady’ semasa upacara pengebumiannya melalui sebuah ucapan yang ditulis Zachary sendiri. Gelaran First Lady mendapat pengiktirafan negara pada tahun 1877 apabila Mary C. Ames menulis sebuah artikel di dalam akhbar New York City, The Independent yang melaporkan pelantikan Presiden Rutherford B. Hayes di mana isterinya Lucy Webb Hayes digambarkan sebagai the First Lady. Gelaran First Lady kemudian terus sinonim dengan isteri-isteri Presiden AS berikutnya sehinggalah sekarang. Begitulah sejarah gelaran First Lady di mana ia tidak bernilai setitik pun di sisi Islam kerana dicedok dari negara kufur dan dari orang-orang kafir. Janganlah sehingga kita tergolong dari golongan yang disebutkan oleh Rasulullah , ‘Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu maka dia adalah sebahagian dari kaum tersebut’ [HR Ahmad]. Sautun Nahdhah kali ini ingin mengungkapkan penderitaan yang telah dan sedang di alami oleh seorang Muslimah yang mana kisah menyayat hatinya ini langsung tidak mendapat perhatian, baik dari ‘Wanita Pertama’ mahupun suaminya mahupun juga dari mana-mana pemimpin umat Islam yang begitu ramai saat ini!

Dr. Aafia Siddiqui Yang Tidak Mendapat Pembelaan

Pada bulan Mac 2009, dua orang wartawan wanita dari Amerika, Euna Lee dan Laura Ling, telah ditahan oleh tentera pengawal sempadan Korea Utara ketika sedang melakukan liputan untuk sebuah rancangan TV Terkini yang berpusat di California. Mereka kemudiannya dibicarakan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun kerana “berkelakuan biadab” dan memasuki Korea Utara secara haram. Ketika menjalani hukuman penjara, pihak Amerika telah berusaha keras untuk membebaskan kedua-dua wanita itu dan pada bulan Ogos 2009, bekas Presiden Amerika, Bill Clinton telah diutus untuk berbincang dengan Presiden Korea Utara, Kim Jong II. Perjumpaan itu ternyata berhasil dan kedua-dua wartawan wanita itu kemudiannya dibebaskan.

Pada bulan Mac 2003, seorang wanita juga ditawan dan dipenjarakan. Wanita malang itu bernama Aafia Siddiqui. Sepertimana wartawan Amerika tadi, beliau juga seorang wanita, menerima pendidikan dan bekerja di Amerika dan ketiga-tiga anak beliau adalah warganegara Amerika. Namun, tidak seperti wartawan Amerika yang ditahan enam tahun selepas beliau itu, Aafia adalah seorang wanita Islam dan beliau tidak mempunyai pemimpin yang boleh menjaga serta menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Aafia Siddiqui dilahirkan di Karachi, Pakistan pada 2hb Mac 1972. Beliau merupakan salah seorang daripada anak-anak Mohammad Siddiqui, iaitu seorang pegawai perubatan yang mendapat pendidikan dan latihan kedoktoran di England. Beliau juga adalah ibu kepada tiga orang cahayamata dan merupakan seorang penghafal al-Quran. Dr. Aafia dan ketiga-tiga orang anaknya telah ditahan oleh ejen perisikan Pakistan pada bulan Mac 2003 dan kemudiannya diserahkan ke pihak Amerika di Afghanistan, di mana beliau telah dipenjarakan di Bagram dan dirogol berulang-ulang kali, diseksa dan dikasari selama bertahun-tahun lamanya. Satu laporan di dalam akhbar Pakistani Urdu pada ketika itu menyatakan bahawa Aafia dan anak-anaknya telah diculik oleh pihak berkuasa Pakistan dan dimasukkan ke pusat tahanan yang tidak diketahui.

Walaupun kehilangannya telah dilaporkan namun langsung tidak ada tindakan daripada pihak berkuasa Pakistan, malah sebaliknya seminggu selepas kehilangan beliau, bapanya telah didatangi oleh sepasukan ejen perisikan dan diugut agar tidak mendedahkan kehilangan Aafia kepada umum jika tidak mahu berdepan dengan risiko buruk. Moazzam Begg dan beberapa orang bekas tahanan Amerika yang lain melaporkan bahawa seorang tahanan wanita digelar ‘Tahanan 650’ telah dimasukkan ke Pengkalan Udara Bagram di Afghanistan. Yvonne Ridley, penulis cageprisoners.com telah menulis tentang Tahanan 650 (Aafia) yang menceritakan kisah penyeksaan dan penderaan ke atasnya di mana beliau telah dirogol berulang-kali selama lebih empat tahun. Tangisan dan raungan wanita tidak berdaya ini bergema (dengan jeritan kesakitan) di dalam penjara itu, sehingga mendesak para tahanan lain untuk melancarkan mogok lapar. Yvonne menggelar beliau sebagai ‘wanita seram’ kerana beliau sudah mirip seperti hantu di mana tangisan, rintihan dan raungannya terus menerus menghantui siapa sahaja yang mendengarnya. Hal seperti ini tidak akan pernah berlaku pada wanita Barat.

Kedua-dua pihak baik kerajaan Pakistan mahupun Amerika menafikan sebarang pengetahuan tentang kisah pemenjaraan dan penahanan Aafia sehinggalah kisah beliau terbongkar ke perhatian umum dan mendapat tumpuan pihak media. Fitnah dan pertuduhan serta merta direka terhadap beliau kononnya beliau telah terlibat dengan keganasan dan tuduhan tidak masuk akal terus dilemparkan bahawa beliau telah merampas senjata dari tangan seorang tentera Amerika dan menembak beberapa orang pegawai tentera Amerika. Pada 4hb Ogos 2008, pendakwaraya persekutuan di Amerika mengesahkan bahawa Aafia Siddiqui telah diekstradiksi dari Afghanistan ke Amerika di mana beliau telah ditahan sejak pertengahan bulan Julai 2008. Pihak pentadbiran Amerika mengatakan bahawa Aafia telah ditangkap oleh pihak berkuasa Afghanistan di luar kawasan halaman Gabenor Ghazni dan memiliki beberapa buku panduan (manual) tentang letupan dan ‘bahan kimia merbahaya di dalam sebuah bekas yang bertutup’ bersamanya. Mereka seterusnya menuduh bahawa ketika ditahan reman, Aafia telah melepaskan tembakan kepada pegawai-pegawai pihak berkuasa Amerika (walhal tiada siapa pun di antara mereka yang tercedera) namun sebaliknya Aafia telah tertembak dirinya sendiri dalam kejadian itu.

Pada bulan Ogos 2008, sebuah penulisan dalam The News telah mendedahkan penderaan yang telah dilakukan ke atas Aafia semasa beliau ditahan di bawah jagaan Amerika di mana salah satu dari buah pinggangnya telah dibuang, beberapa batang giginya telah dicabut, hidung beliau telah dipatahkan dan diperbetulkan semula dalam keadaan yang tidak sempurna, rambut beliau dicabut dengan cara yang menyakitkan dan luka tembakan beliau tidak dirawat dengan sempurna menyebabkan darah berterusan mengalir. Beliau juga sering dipukul dengan objek keras dan dipaksa berjalan di atas Al-Quran dalam keadaan bogel dan banyak lagi penyeksaan lainnya yang langsung tidak berperikemanusiaan. Pada 11hb Ogos 2008, akhbar Reuters melaporkan, Aafia muncul di mahkamah untuk dibicarakan dengan berkerusi roda dan peguamnya telah merayu kepada hakim supaya memastikan beliau mendapat rawatan perubatan yang sewajarnya. Elizabeth Fink, salah seorang peguam beliau berkata kepada hakim, “Dia telah berada di sini selama seminggu wahai Tuan Hakim, dan tiada seorang doktor pun yang merawat beliau, walaupun pihak berkuasa Amerika tahu bahawa beliau telah ditembak.”

Elizabeth Fink memberitahu hakim persekutuan di New York bahawa terdapat bukti yang menunjukkan Aafia telah dipenjarakan dan diperlakukan tanpa peri kemanusiaan dalam jangka masa yang panjang. Menurut dokumen yang diserahkan oleh Fink kepada mahkamah, Aafia telah memberitahu kakitangan penjara bahawa beliau sangat risaukan anak-anaknya terbiar kelaparan, kebuluran dan diseksa. Beliau seterusnya menyuruh mereka untuk membungkus makanan dari pinggannya dan menghantarkan kepada anaknya di Afghanistan. Seorang lagi peguam beliau, Elaine Whitfield Sharp berkata, “Kami tahu beliau pernah berada di penjara Bagram untuk jangka waktu yang lama. Ianya sangat lama. Menurut klien saya, beliau ditahan di sana beberapa tahun di dalam penjagaan pihak Amerika dan beliau diperlakukan dengan amat kejam.”

Aafia kekal di pusat tahanan Amerika di New York, dengan tahap kesihatan yang amat buruk. Beliau juga sering diperlakukan dengan cara yang memalukan, dibogelkan dan disiasat seluruh anggota badan dengan cara yang amat menghinakan selepas setiap kali beliau menerima pelawat secara sah ataupun selepas muncul di mahkamah. Beliau kemudiannya menolak untuk berjumpa dengan para peguambela beliau. Satu laporan menyatakan bahawa beliau berkemungkinan telah menghidap kerosakan sel-sel otak dan sebahagian dari usus kecil beliau telah dipotong dan dibuang. Peguamnya berkata bahawa Aafia menunjukkan gejala-gejala yang konsisten dengan penghidap Tekanan Perasaan Disebabkan Trauma (Post Traumatic Stress Disorder). Laman web Justice For Aafia Coalition (JFAC) melaporkan bahawa kesemua anak Aafia juga diculik bersama ibu mereka dan berada di bawah tahanan Amerika secara berasingan dan nasib mereka tidak diketahui sehinggalah ke tahun 2008 apabila salah seorang anaknya, Ahmed Siddiqui dilepaskan dari tahanan AS selepas kesnya terbongkar. Sejurus dibebaskan Ahmed menceritakan bagaimana detik-detik dia diculik bersama ibunya dan adik-adiknya yang lain dan salah seorang dari adiknya yang bongsu yang masih bayi telah terbunuh. Ahmed juga menceritakan bagaimana dia diseksa oleh tentera Amerika bersama sebilangan kanak-kanak yang lain.

Sejak 2008 apabila kes Dr. Aafia ini didedahkan oleh Asian Human Rights Commision dan diketahui media dan di bawa ke mahkamah, AS terus-menerus membuat pendakwaan dan perbicaraan karut ke atas wanita malang ini. Setelah melalui siri perbicaraan yang panjang dan menjengkelkan, akhirnya, pada 23 September 2010 yang lalu, Dr. Aafia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 86 tahun oleh Mahkamah Persekutuan AS di Manhattan, New York atas kesalahan cubaan membunuh. Satu hukuman yang langsung tidak masuk akal oleh sebuah negara yang kononnya bertamaddun dan memperjuangkan hak asasi manusia! 

Khilafah Sebagai Pembela

Wahai kaum Muslimin! Lihatlah betapa jahatnya AS, baik di bawah pimpinan Bush mahupun Obama yang mana pemimpin umat Islam (termasuk Perdana Menteri Malaysia) sedang berbaik, menagih dan meraih keagungan dengannya. Saksilah wahai saudaraku betapa dahsyatnya penderitaan yang telah dan sedang ditanggung oleh seorang Muslimah tanpa mendapat sedikitpun pembelaan dari para pemimpin Islam dari negara manapun! Sungguh, para pemimpin ini benar-benar pengkhianat kepada Allah dan Rasul dan kepada kaum Muslimin dan mereka tunduk kepada Amerika la’natullah. Pihak berkuasa Pakistan dengan kejinya menculik dan menyerahkan seorang Muslimah kepada kuffar Amerika, sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda: “ Seorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain, maka janganlah dia menindas saudaranya dan jangan sekali-kali dia menyerahkan saudaranya (kepada pihak yang menindas)” [HR Bukhari]. Selain Dr. Aafia, sesungguhnya masih ramai Muslimin dan Muslimat yang sedang mengalami penderitaan yang sama di dalam penjara di Guantanamo, Abu Ghraib, Bagram dan pusat-pusat tahanan rahsia CIA. Beginilah keadaan umat Islam tatkala tidak ada Khalifah sebagai pembela.

Pada zaman Rasulullah SAW, seorang tukang emas Yahudi Bani Qainuqa’ telah mempermainkan kehormatan seorang Muslimah dengan mengikat hujung kain yang dipakainya kepada kerusi dan menyebabkan auratnya tersingkap apabila beliau bangun. Seorang Muslim yang kebetulan berada di situ terus bingkas membela dengan membunuh Yahudi tadi. Kaum Yahudi kemudiannya membalas dengan membunuh pula Muslim tersebut.  Keluarga Muslim itu telah meminta bantuan kaum Muslimin yang lain dan berita ini sampai kepada Rasulullah SAW. Baginda lalu terus memimpin pasukan tentera dan menyerang Yahudi Bani Qainuqa’. Selepas lima belas hari dikepung, Yahudi Bani Qainuqa’ berjaya dikalahkan dan seluruh bangsa terlaknat itu dihalau dari tempat tinggal mereka.

Imam Ibnu Athir mencatatkan dalam Al-Kamil fi-Tarikh, sebuah kisah yang terkenal mengenai seorang Muslimah yang telah ditangkap oleh puak Rom dan ditahan di satu tempat bernama Amuriyyah. Tidak puas dengan menahan beliau, mereka juga telah cuba untuk mencabul kehormatan Muslimah itu. Bersendirian dan ketakutan, wanita itu memanggil nama Khalifah pada ketika itu “Wahai Mu’tasim, wahai Mu’tasim”. Tatkala berita ini sampai kepada Mu’tasim, beliau terus menyahut seruan Muslimah tadi dan dengan penuh keberanian melaungkan, “Labbaik” (Aku datang menyahut seruanmu). Mu’tasim mempersiapkan bala tenteranya dan melancarkan jihad ke atas Rom demi menyelamatkan Muslimah tersebut. Beliau berjaya mengalahkan musuh dan menakluki Amuriyyah. Imam Sayuti di dalam Tarikh al-Khulafa’ menulis bahawa 3000 tentera Rom telah terkorban dan 30,000 yang lain ditawan di dalam peperangan ini. Muslimah tadi berjaya dibebaskan dan kemuliaannya dikembalikan. Qutaibah, komander pasukan tentera Muslim berkata, “Demi Allah! Selepas ini tidak akan ada seorang pun wanita Muslim yang akan (dibiarkan) dihina...”

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah mengirim sepucuk surat kepada tahanan perang Muslimin di Konstantinopel dengan menulis, “Kalian mengatakan diri kalian adalah tahanan perang (walhal) sebenarnya, kalian bukanlah begitu. Kalian telah dipenjara kerana berjihad di jalan Allah. Aku ingin memberitahu kalian, apabila aku memberi sesuatu kepada semua kaum Muslimin, aku akan memberikan lebih kepada kaum keluarga kalian dan aku mengirimkan si fulan bin si fulan dengan (membawa) 5 dinar untuk setiap seorang dari kalian. Seandainya bukan kerana aku risaukan penguasa diktator Rom yang akan merampasnya dari kalian, sudah pasti aku akan mengirimnya lebih lagi. Aku juga telah mengutus si fulan bin si fulan untuk memastikan pembebasan setiap dari kalian, tanpa mengira berapa pun wang tebusan yang perlu dibayar. Maka bergembiralah kalian! Assalamu’alaikum.”

Wahai kaum Muslimin! Lihatlah bagaimana sedikit nukilan dari tinta emas sejarah Islam yang membuktikan betapa Daulah Khilafah benar-benar menjaga kehormatan dan kemuliaan walau hanya seorang Muslimah. Lihatlah juga bagaimana Negara Kufur Amerika yang menjaga rakyatnya di mana ‘bekas Presiden’ sendiri di hantar untuk membebaskan rakyatnya yang ditahan. Lihatlah pula bagaimana (jika pun ada) reaksi dari pemimpin umat Islam sekarang terhadap Dr. Aafia Siddiqui dan lain-lain tahanan Muslim yang ada di penjara kuffar! Apakah dengan segala kisah seperti ini masih tidak menyedarkan kalian wahai kaum Muslimin, betapa perlunya kita kepada Khilafah? Apakah kalian masih mahu terus berdiam diri dari usaha menegakkan Khilafah dan masih ingin terus membiarkan pemimpin sekular yang tidak mempedulikan umat Islam ini berkuasa? Sungguh, tidak ada kata-kata lebih baik yang boleh diluahkan kepada pemimpin yang membiarkan umat ini menderita, yang masih bermewah-mewah dengan segala harta, pangkat dan kedudukan tatkala saudara-saudara kita yang lain sedang bersabung nyawa menahan seksa, kecuali dengan perkataan “Bersenang-senanglah kamu wahai para pemimpin pengkhianat! Sesungguhnya Allah Maha Menyaksikan apa yang kamu lakukan dan sesungguhnya azab Allah sedang menanti kamu.”
Share:

2 manusia berfikir:

  1. ya habib...pohon share entry ini ya...

    menyebarkan risalah...sangat meruntun hati ini...

    ni link dia.. :

    http://pendekarberkuda.blogspot.com/2010/12/sebuah-kisah-yang-meruntun-hati-dan.html

    ReplyDelete
  2. Sungguh hebat ujian para muslimin dn muslimah di akhir zaman ini. diharapkan kita bersama-sama menjaga kebajikan saudara se-muslim di luar sana dengan mmbantu mereka mngikut kemampuan msing2. Insya-Allah... 'Amar ma'aruf nahi mungkar!

    ReplyDelete

Chat with me