Sebagai respon kepada pendedahan tersebut, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mengesahkan bahawa kerajaan negeri memang ada menerima wang derma dari syarikat judi tersebut, namun ia digunakan untuk membantu orang bukan Islam yang miskin kerana di Pulau Pinang terdapat juga golongan bukan Islam yang miskin. Manakala bantuan yang disalurkan kepada orang Islam adalah datang dari hasil lebihan belanjawan negeri yang dapat mereka jimatkan selama ini. Guan Eng menegaskan bahawa beliau tahu haram hukumnya bagi orang Islam menerima wang judi dan beliau tidak berbuat demikian, tetapi UMNO dan media talibarut merekalah yang telah memfitnahnya sedemikian rupa sebagai modal politik bagi mencari semula pengaruh mereka yang sudah hilang di Pulau Pinang [Harakahdaily]. Sebagai reaksi di atas isu ini, mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, sesebuah dana daripada sumber berkenaan (sumber judi) jatuhnya tidak haram jika disatukan dengan dana-dana lain. Beliau juga memberitahu, kerajaan negeri Kelantan juga mendapat sumber kewangan daripada kedai-kedai pajak gadai dan pembayaran cukai arak bagi memperoleh pendapatan [UM 27/09/10]. Manakala Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bercadang untuk mengasingkan punca hasil dari sumber judi dan arak daripada punca-punca hasil yang sah tidak lama lagi untuk kerajaan negeri jelapang padi tersebut [Harakahdaily].
Itulah sebahagian dari siri serangan yang dilakukan oleh UMNO ke atas pembangkang sejak kemenangan pembangkang memerintah beberapa negeri selepas pilihanraya umum ke-12 dulu. Kadang-kadang kita merasa pelik dengan kedangkalan berfikir yang mereka tunjukkan. Siapa tidak tahu bahawa kerajaan UMNO adalah kerajaan (yang meluluskan) judi? Baru sahaja negara dikejutkan dengan tindakan maksiat UMNO yang telah meluluskan judi bolasepak sempena piala dunia, kini mereka ingin bercakap tentang kerajaan Pulau Pinang yang mengagihkan hasil judi. Tidakkah mereka ada ‘sedikit kesedaran’ bahawa wujudnya kesemua kelab-kelab judi di Malaysia, termasuklah kelab lumba kuda di Pulau Pinang tersebut adalah berpunca dari hasiltangan mereka sendiri? Begitulah juga dengan industri judi lainnya, kilang arak, kelab malam dan lain-lain benda haram yang tumbuh subur di sekitar Kuala Lumpur, Genting Highland, Bukit Tinggi, Ipoh dan lain-lain, bukankah kesemua ini merupakan ‘anak haram’ yang keluar dari ‘rahim’ UMNO sendiri? Sungguh aneh cara kerajaan sekular ini menangani isu ini di mana hasil judi mereka persoalkan tetapi kelab judi mereka biarkan! Mereka cuba memercik air di dulang seolah-olah tidak tahu bahawa ia akan terpercik ke muka sendiri!
Pengurusan Harta Ghulul Menurut Islam
Keharaman judi di dalam Islam adalah suatu yang qath’ie (pasti). Justeru, harta yang diperolehi melalui perjudian adalah haram untuk dimiliki, dimanfaatkan (sendiri) atau pun diagihkan (kepada orang lain). Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji yang termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kalian beruntung” [TMQ Al-Maidah (5):90].
Oleh yang demikian, tidak boleh (haram) adanya sebarang aktiviti atau pusat perjudian di dalam sebuah negara Islam. Jika hal ini wujud, maka pelakunya akan dikenakan uqubat (hukuman) dan harta yang terkumpul (jika ada) dari aktiviti perjudian itu akan diurus mengikut hukum syara’ (akan diterangkan selepas ini). Sebagai Muslim, kita hendaklah faham bahawa walaupun judi haram ke atas orang Islam, namun judi juga tidak boleh dilakukan oleh orang kafir di dalam negara Islam. Hal ini adalah sebagaimana zina, mencuri, merompak, merogol dan sebagainya. Semua ini adalah haram di dalam Islam dan bukanlah keharaman itu semata-mata berlaku ke atas orang Islam, di mana orang kafir boleh berzina, mencuri dan merogol sesuka hati. Kita mesti ingat bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang negara. Maka larangan berjudi, berzina, mengambil riba, mencuri dan sebagainya adalah termasuk di dalam undang-undang negara yang mana rakyatnya tidak kira Islam mahupun kafir dilarang melakukan semua itu dan uqubat akan dikenakan ke atas setiap pelakunya sama ada Muslim mahupun kafir tanpa kecuali.
Itu dari satu sisi. Dari sisi lain yang perlu difahami adalah kedudukan harta yang diperolehi dari sumber-sumber yang haram, sekiranya hal ini memang berlaku di dalam Daulah Islam, bagaimanakah cara Khilafah menguruskannya? Harta yang diperolehi dari para wali/gabenor (pemerintah di peringkat Wilayah), para amil (pemerintah di peringkat Imalah) dan para pegawai negara (penjawat awam) melalui cara yang tidak syar’ie baik ia diperolehi dari harta milik negara atau harta milik masyarakat, dikenali sebagai harta ghulul (curang). Mereka tidak boleh mengambil harta-harta tersebut. Mereka hanya berhak ke atas elaun, imbuhan ataupun gaji yang telah ditetapkan untuk mereka sahaja. Setiap harta yang mereka perolehi melalui (jalan) pemanfaatan jawatan, kuasa atau status kepegawaian mereka, maka harta tersebut dianggap ghulul. Harta tersebut adalah harta haram dan tidak boleh dimiliki kerana ia tidak diperolehi melalui jalan yang syari’e. Mereka wajib mengembalikan harta tersebut kepada pemilik asal jika diketahui dan jika tidak diketahui maka harta itu disita serta diserahkan kepada Baitul Mal (Perbendaharaan). Pengharaman ghulul adalah berdasarkan firman Allah SWT,
“..dan barangsiapa yang curang (yaghlul), pada hari kiamat ia akan datang membawa hasil kecurangannya” [TMQ Ali-Imran (3):161].
Dari Muaz bin Jabal, ia berkata,
“Rasulullah SAW mengutusku ke Yaman. Setelah aku berangkat, baginda mengutus orang lain menyusulku. Aku pun pulang kembali. Rasulullah SAW bertanya kepadaku, ‘Tahukah engkau mengapa aku mengutus orang untuk menyusulmu? Janganlah engkau mengambil sesuatu tanpa izinku, itu merupakan ghulul (kecurangan). Barangsiapa yang berbuat curang, pada hari kiamat ia akan dibangkitkan dalam keadaan memikul beban kecurangannya. Kerana itulah aku memanggilmu, sekarang berangkatlah untuk melaksanakan tugasmu” [HR Tirmizi].
Di dalam kitab Al-Amwal Fi ad-Daulah al-Khilafah, Syeikh Abdul Qadim Zallum merincikan harta-harta yang termasuk dalam kategori ghulul iaitu:-
Pertama: Rasuah, iaitu harta yang diberikan kepada wali, amil atau pegawai negara dengan maksud memperolehi maslahat mengenai suatu kepentingan yang sepatutnya diputuskan oleh mereka tanpa bayaran. Rasuah adalah haram seluruhnya (mutlak) baik apapun bentuknya, sedikit atau banyak, melalui apa cara sekalipun ia diserahkan atau diterima. Hal ini dinyatakan oleh Nabi SAW melalui Abu Hurairah ra,
“Laknat Allah terhadap pemberi rasuah dan penerimanya di dalam (urusan) pemerintahan” [HR Abu Daud].
Begitu juga dalam hadis lain dari Abdullah bin Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Laknat Allah terhadap pemberi dan penerima rasuah” [HR Tirmizi].
Harta yang diterima melalui cara rasuah wajib dipulangkan kepada pemiliknya (jika diketahui) atau disita dan disimpan di dalam Baitul Mal (jika pemiliknya tidak diketahui) manakala pelaku rasuah, saksi serta perantaranya akan dikenakan uqubat.
Kedua: Hadiah atau hibah yang diperoleh oleh para penguasa atau pegawai negara seperti halnya rasuah. Mereka tidak boleh menerimanya sama sekali meskipun pihak yang memberi hadiah tersebut pada saat itu tidak mempunyai kepentingan tetapi ia ingin memperoleh kepentingan di kemudian hari. Harta jenis ini dikategorikan sebagai haram berdasarkan peristiwa Ibnu Utabiyyah yang ditugaskan sebagai amil zakat oleh Nabi SAW ke suatu tempat. Ibnu Utabiyyah kemudian menyerahkan zakat yang dikumpulnya bersama hadiah yang diberi orang kepadanya. Kemudian Rasulullah SAW mengharamkan hadiah tersebut [HR Bukhari-Muslim]. Sepertimana harta rasuah, harta yang diperolehi dengan cara hibah ini mesti dikembalikan kepada pemiliknya atau dimasukkan ke Baitul Mal.
Ketiga: Harta yang diperolehi para penguasa dan penjawat awam yang berasal dari harta atau tanah milik negara atau milik masyarakat yang diambil dengan jalan pemaksaan, kekerasan, tekanan dan penyalahgunaan kuasa. Kesemua harta yang diperolehi dengan cara ini adalah haram dan merupakan suatu kezaliman. Hal ini sama dengan kecurangan dan pelakunya akan masuk neraka berdasarkan hadis Nabi SAW,
“Barangsiapa yang secara zalim mengambil sejengkal tanah, maka kelak ia akan dikalungi Allah dengan (belenggu seberat) tujuh lapis bumi” [HR Mutafaq Alaih].
Harta ini wajib dikembalikan kepada pemiliknya (jika diketahui) atau dimasukkan ke dalam Baitul Mal (jika pemiliknya tidak diketahui). Tindakan seperti ini pernah dilakukan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz tatkala menerima kekhilafahan dengan mengembalikan seluruh harta dan tanah yang diambil Bani Umayyah dari masyarakat secara tekanan kekuasaan.
Keempat: Harta samsarah (agency/pengejenan) dan ‘amulah (brokerage/komisyen) yang diperoleh para penguasa dan pegawai negara melalui bayaran oleh perusahaan asing atau lokal di atas jasa atau balasan kepada pemeliharaan kepentingan mereka. Seluruh harta seperti ini dianggap sebagai ghulul dan haram hukumnya. Hadis dari Mu’az bin Jabal di atas menjadi dalil kepada keharaman ghulul dalam hal ini. Samsarah dan ‘amulah merupakan harta yang diperolehi oleh penjawat awam tanpa diketahui oleh negara (‘bawah meja’) dan perbuatan ini dianggap sebagai rasuah kerana ia diberikan perusahaan terbabit bagi mendapatkan kontrak atau projek dan sebagainya demi mencapai kepentingan mereka, bukannya kepentingan umat mahupun negara.
Kelima: Harta penyelewengan (misappropriation), iaitu harta yang diperolehi oleh para penguasa dan penjawat awam melalui jalan penyalahgunaan harta negara yang berada di bawah kawalan mereka di dalam membiayai tugas pekerjaan mereka. Termasuk di dalam hal ini misalnya menaikkan jumlah tuntutan (claim) perjalanan, penipuan, pemalsuan dokumen/invois atau mengambil kesempatan di atas kelalaian petugas lain. Semua ini adalah perolehan harta secara ghulul yang wajib disita dan dimasukkan ke dalam Baitul Mal. Umar al-Khattab sering melakukan hal ini di mana beliau ‘mengaudit’ para pegawainya dan mana-mana pegawai yang didapati memiliki kelebihan harta akan disita dan dimasukkan ke dalam Baitul Mal. Pendek kata apa sahaja yang diperolehi oleh penjawat awam melalui cara yang tidak syar’ie, maka harta ini adalah kepunyaan Baitul Mal. Termasuk dalam masalah ini juga adalah harta yang diperolehi oleh seseorang dengan cara ‘penambahan kekayaan’ yang diharamkan oleh syara’ kerana ia adalah perolehan haram dan tidak sah dimiliki. Justeru, sesiapa sahaja yang memperolehi penambahan harta dengan cara (memakan) riba, ia tidak berhak memiliki harta tersebut kerana penambahan harta dengan cara riba adalah dilarang oleh Allah. Wajib mengembalikan harta riba tersebut kepada tuan asalnya (jika diketahui) dan jika tidak diketahui tuannya, maka hendaklah dikembalikan ke Baitul Mal. Begitulah juga dengan harta yang diperolehi dari hasil judi. Ia adalah haram untuk dimiliki atau dimanfaatkan oleh orang tersebut.
Keenam: Harta yang bersumber dari denda yang dikenakan oleh negara ke atas orang-orang yang tersabit kesalahannya sama ada berbuat dosa (maksiat) melanggar undang-undang negara atau peraturan-peraturan administratif dan seumpamanya. Denda ditetapkan oleh Islam berdasarkan sunnah yang diriwayatkan melalui Amru bin Syu’aib dari bapanya dan dari datuknya yang bertanyakan kepada Rasulullah SAW mengenai buah-buahan di pokok, maka sabda Rasulullah SAW,
“Siapa sahaja yang memetik buah (di atas pokok) sekadar untuk memakannya (kerana keperluan mendesak) dan dia tidak mengambilnya, maka dia tidak dikenakan hukum apapun. Dan siapa sahaja yang mengambil buah dari pokok itu, maka ia dikenai denda dua kali ganda, dan dikenakan hukuman” [HR Abu Daud dan Nasa’ie].
Denda ini merupakan ketetapan Islam di bawah hukuman ta’zir. Khalifah berhak menentukan jenis-jenis kesalahannya dan hukumannya serta kadar denda menurut ijtihadnya.
Demikianlah serba sedikit penjelasan mengenai pengurusan harta-harta ghulul di dalam Islam. Kesimpulannya, harta ghulul hendaklah dikembalikan kepada pemiliknya jika diketahui dan hendaklah dimasukkan ke dalam Baitul Mal jika pemiliknya tidak diketahui. Persoalan seterusnya yang perlu difahami adalah, apabila harta ghulul tersebut telah dimasukkan ke dalam Baitul Mal, maka status harta tersebut kini adalah sebagai milkiyah ad-daulah (hak milik negara) yang mana hak tasarruf (pemanfaatan) harta ini adalah terletak di tangan Khalifah. Oleh itu, Khalifah berhak menyalurkan kepada siapapun warganegara yang memang berhak untuk mendapatkannya. Pada saat harta itu disalurkan, maka status harta tersebut telah berubah menjadi halal bagi siapa sahaja warganegara yang telah menerimanya. Ini kerana, pemberian dari negara merupakan cara yang dibenarkan syara’ (sah) bagi seseorang memiliki harta.
Berbalik kepada apa yang berlaku di Pulau Pinang, antara perkara yang perlu difahami di dalam kes ini adalah ‘status’ Lim Guan Eng itu sendiri sebagai seorang penguasa negeri Pulau Pinang yang bukan beragama Islam. Statusnya tidak ubah sepertimana kedudukan penguasa di Amerika, Britain, Perancis, Sepanyol, China, Brazil dan lain-lain, yakni, sama-sama kafir. Oleh yang demikian, sumber pendapatan negara/negeri yang diperolehi dari hasil judi, arak, pelacuran, saham, insuran dan sebagainya merupakan harta yang ‘halal’ bagi mereka dan mereka berhak memberinya kepada mana-mana warganegara yang mereka kehendaki tidak kira Muslim mahupun non-Muslim, baik itu merupakan pemberian percuma ataupun di dalam bentuk bayaran gaji/upah. Oleh sebab itulah, seorang Muslim tidak dikira berdosa jika bekerja dengan sebuah kerajaan kufur dan menerima gaji dari kerajaan kufur (selama mana jenis pekerjaannya sah di sisi syarak) meskipun sumber pendapatan negara/negeri yang berkenaan adalah dari sumber yang haram seperti judi, arak, cukai, pelacuran dan seumpamanya. Walaupun hakikatnya penguasa kafir tersebut adalah berdosa besar di sisi Allah kerana kekufuran atau kesyirikannya kepada Allah dan sumber haram yang diambilnya serta kerana hukum kufur yang diterapkannya, namun seseorang ‘penerima hadiah/derma’ ataupun ‘penerima gaji’ dari kerajaan kufur tidaklah dikira haram atau berdosa.
Begitulah juga keadaannya dengan penguasa Muslim yang memberi hadiah atau gaji kepada rakyatnya dari sumber yang haram sebagaimana halnya kerajaan Malaysia hari ini. Walaupun penguasa tersebut telah melakukan dosa besar kerana mengambil pendapatan negara/negeri dari hasil judi, arak, cukai, minyak, rasuah, saham, riba dan sebagainya, namun warganegara yang menerima hadiah atau gaji tidaklah berdosa di sisi Islam. Ini kerana, hak tasarruf harta-harta tersebut terletak pada penguasa tadi. Ringkasnya, kita hendaklah membezakan di antara hukum orang yang memberi dan hukum orang yang menerima. Kita juga hendaklah membezakan ‘pihak’ yang memberi itu sendiri dari segi sama ada ia adalah penguasa/kerajaan atau syarikat atau individu. Berbeza dengan penguasa, syarikat atau individu tidak mempunyai hak tasarruf ke atas harta ghulul atau harta haram lainnya. Maka haram bagi syarikat atau individu terbabit untuk mengambil atau memberi harta ghulul dan haram pula bagi seseorang untuk menerima harta ghulul dari syarikat atau individu tersebut. Inilah kedudukan syara’ terhadap harta ghulul yang mana kita lihat masalahnya amat sukar untuk diatasi atau diselesaikan sekarang kerana institusi negara itu sendiri sudah amat korup dan bercelaru. Kerana itulah kita memerlukan sebuah negara Khilafah yang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah yang akan menghilangkan segala keburukan ini dan akan meletakkan hukum Allah di tempat letaknya.
0 manusia berfikir:
Post a Comment