Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Taklimat Presiden di perhimpunan assabiyyah Melayu terbesar itu. Tema ‘model politik baru’ yang dibawa Najib nampaknya cuba menyuntik semangat baru pada pimpinan dan ahli-ahli UMNO yang semakin ditolak rakyat itu. Dalam masa yang sama, ia bermaksud bahawa model politik yang diamalkan oleh UMNO sebelum-sebelum ini adalah suatu yang lapuk yang bersifat tertutup, ekslusif dan tidak demokratik. Entah apa agaknya pembaharuan politik yang akan dilakukan oleh presiden UMNO yang ke-6 ini tetapi suatu yang pasti ialah UMNO tidak akan berubah sebagai sebuah parti politik Melayu yang memperjuangkan assabiyyah yang diharamkan oleh Islam. Juga, model politik baru yang diperkenalkan ini juga hakikatnya hanyalah sekadar sulaman penghias politik sekular yang sedia ada tanpa sedikitpun terlepas dari asas sekularnya. Seperkara lagi yang menjadi kebiasaan di dalam setiap perhimpunan agung UMNO adalah isu kuasa politik atau ketuanan Melayu. Isu ini amat penting dan perlu sering dimainkan agar orang-orang Melayu tetap memberikan mandat pemerintahan negara kepada UMNO.
Tanggungjawab Politik Pemerintah
Sesungguhnya pemerintahan dan politik adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Tanggungjawab pemerintah Muslim di dalam Islam adalah untuk menerapkan hukum Allah, bukannya hukum kufur. Islam menggariskan tujuh syarat untuk seseorang itu menjadi pemimpin yakni Muslim (bukannya Melayu), lelaki, baligh, berakal, adil, merdeka dan mampu. Selain itu, terdapat syarat afdhaliyyah (keutamaan) seperti ia hendaklah seorang mujtahid, keturunan Quraisy, pemberani, ahli politik yang ulung, ahli peperangan dan seumpamanya. Harus difahami bahawa tugas kepimpinan adalah tugas siyasah (politik) yang bermaksud ria’yah asy-syu’un al-ummah (mengurusi urusan umat). Oleh kerana itu, sifat takwa perlu ada pada seseorang pemimpin agar ia mengatur umat dengan penuh amanah. Di dalam perlantikan pemimpin, Rasulullah SAW amat memerhatikan hal ini. Sulaiman ibnu Buraidah menuturkan dari bapanya bahawa ia berkata,
“Rasulullah apabila mengangkat seorang pemimpin pasukan atau ekspedisi pasukan (sariyah) selalu mewasiatkan takwa kepadanya dan berbuat baik terhadap kaum Muslimin yang bersama dengannya” [HR Muslim].
Apabila seseorang pemimpin mempunyai ketakwaan iaitu sikap takut kepada Allah dan muraqabah (merasa sentiasa diawasi oleh Allah), baik dalam keadaan sembunyi mahupun terang, maka sikap ini akan menjauhkannya dari bersifat zalim.
Allah SWT telah mewajibkan seorang pemimpin untuk memberikan nasihat yang baik kepada rakyatnya dan Allah mengingatkannya untuk sentiasa amanah dalam mengelola harta negara. Allah mengharamkan syurga bagi para pemimpin yang tidak memberikan nasihat kepada umat atau kepada pemimpin yang menipu atau suka mengambil harta rakyatnya. Ma’qil bin Yasar r.a. menuturkan bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda,
“Siapa sahaja yang diberi kedudukan oleh Allah untuk mengurus umat dan ia tidak memberi nasihat yang tulus kepada mereka (umat), ia tidak akan mencium bau syurga” [HR Bukhari].
Rasulullah SAW juga bersabda, “Siapa sahaja pemimpin yang mengurusi kaum Muslimin, kemudian dia mati dalam keadaan menipu mereka, maka Allah mengharamkan syurga baginya” [HR Bukhari & Muslim].
Abu Said r.a. juga berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Setiap pengkhianat akan membawa sebuah bendera pada Hari Pembalasan yang akan dikibarkan sama tinggi dengan (tingkat) pengkhianatannya dan tidak ada pengkhianatan yang lebih besar daripada pengkhianatan (yang dilakukan oleh) seorang pemimpin umat” [HR Muslim].
Di dalam menguruskan umat (politik) Allah SWT telah menetapkan peraturan yang wajib digunapakai oleh pemimpin untuk memimpin rakyatnya. Para pemimpin wajib memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Allah SWT melarang sama sekali pemimpin menggunapakai sistem dan undang-undang selain Islam. FirmanNya,
“...Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].
“...Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].
“...Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].
Allah SWT tidak memberi pilihan sama sekali kepada manusia kecuali wajib berhukum dengan hukumNya. Oleh itu, di bahu pemimpin terletak satu beban yang besar yakni menerapkan hukum Allah. Inilah tanggungjawab politik (political responsibilities) seseorang pemimpin yang mana jika ia gagal menguruskan umat ini dengan hukum Islam, maka nerakalah yang layak baginya. Sesungguhnya kepimpinan itu adalah suatu amanah yang amat besar dan berat. Abu Dzar r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah SAW,
“Wahai Rasulullah, apakah engkau tidak berkenan mengangkat diriku sebagai pemimpin wilayah?’ Rasulullah kemudian menjawab seraya menepuk-nepuk kedua bahunya, ‘Wahai Abu Dzar, kamu adalah seorang yang lemah, sedangkan tugas itu adalah suatu amanah yang akan membuat orang menjadi hina dan menyesal pada Hari Kiamat, kecuali jika ia mampu menunaikan hak dan kewajiban yang dipikulkan kepadanya” [HR Muslim].
Definisi Politik Dan Perjuangan Politik
Politik (siyasah) bermaksud ri’ayah asy-syu’un al-ummah (mengatur urusan umat), baik di dalam mahupun luar negeri. Politik dilaksanakan baik oleh negara mahupun rakyat. Tugas Negara adalah mengurus kepentingan umat manakala tugas umat adalah melakukan muhasabah terhadap Negara (pemerintah). Inilah politik. Namun, sejak Daulah Khilafah dihancurkan pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924), sistem politik Islam sudah tidak lagi diamalkan yang seterusnya diganti oleh sistem politik kufur. Sejak itulah masuknya pelbagai konsep politik kufur Barat yang tertegak di atas ideologi Kapitalisme yang bersifat faslu ad-deen ‘an al-hayah (memisahkan agama dari kehidupan). Memisahkan politik dari agama dan kehidupan bermakna menghancurkan Islam, sistem-sistemnya, undang-undangnya, nilai-nilai dan peradabannya serta menghancurkan umat Islam itu sendiri. Negara-negara Kapitalis penjajah adalah negara penganut doktrin pemisahan agama dari kehidupan dan politik (sekular). Mereka secara aktif menyebarluaskan doktrin ini dan menerapkannya di negeri-negeri kaum Muslimin. Mereka menyesatkan dan menggambarkan kepada umat Islam bahawa politik tidak sejalan dan tidak boleh dicampuradukkan dengan agama. Mereka menyatakan bahawa politik itu adalah pragmatis, lalu umat Islam dijauhkan dari kefahaman politik yang sebenar dan ‘dipaksa’ menerima definisi politik seadanya (yang dibawa Barat) dan mustahil untuk mengubahnya. Hal ini dimaksudkan agar umat, termasuk para ulama, menjauhi politik (malah ada yang menyifatkannya keji/kotor) dan natijahnya mereka (umat Islam) tetap berada di bawah penguasaan politik dan telunjuk Barat yang kafir.
Kuffar Barat berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan umat Islam terus menjauhi politik, agar umat terus lesu dan tenggelam di dalam perkara-perkara ‘ibadah’ tanpa memperhatikan aspek sistem dan undang-undang yang diterapkan dalam negara dan tanpa memperhatikan apakah aktiviti penguasa bertepatan dengan hukum syarak atau tidak. Kaum kafir juga cuba menjauhkan umat dari kelompok-kelompok politik atau dari keterlibatan dalam bidang politik, tetapi menggalakkan penubuhan atau penglibatan di dalam badan-badan bukan kerajaan (NGO), badan-badan khairat (kebajikan), seni, persatuan-persatuan dan seumpamanya. Dengan menjauhkan umat Islam dari politik, maka Barat berjaya menyibukkan umat Islam dengan perbincangan dan perbalahan yang tak berkesudahan mengenai perkara-perkara sunat dan makruh dan perkara remeh-temeh lainnya tanpa menghiraukan perkara-perkara wajib dan haram khususnya di dalam aspek pemerintahan! Puak kuffar ini sedar bahawa umat Islam tidak akan berupaya menyerang pemikiran politik kufur (yang mereka bawa/sebarkan) tanpa kewujudan aktiviti politik atau terlibat dalam organisasi politik yang berasaskan Islam. Barat sedar bahawa tanpa kesedaran politik dan tanpa penglibatan umat Islam di dalam politik Islam (untuk menyerang politik kufur), maka, pemimpin sekular, sistem kufur sekular dan undang-undang kufur yang diamalkan di negara kaum Muslimin, akan terus dapat dipertahankan kewujudannya. Tanpa kesedaran dan aktiviti politik juga, umat Islam tidak mampu menemui jalan yang boleh membangkitkan mereka dan terus hanyut di dalam arus kejahilan. Inilah yang dikehendaki oleh Barat.
Tidak berhenti di situ, apabila Barat mendapat tahu bahawa terdapat parti politik yang berusaha membangkitkan umat dengan (aktiviti politik) membongkar kejahatan penguasa-penguasa sekular dan membongkar agenda Barat ke atas umat Islam dan ingin menerapkan hukum Islam secara kaffah (menyeluruh), maka Barat terus mengisytiharkan ‘perang’ ke atas parti politik tersebut. Apatah lagi jika sesebuah parti politik itu bersifat internasional yang menyeru penyatuan umat Islam di bawah satu pemerintahan (Daulah Khilafah) tanpa mengira sempadan, bangsa, keturunan, warna kulit dan bahasa, Barat akan terus mengaitkan parti politik tersebut dengan ekstremisme, radikalisme dan terorisme. Namun jika sesebuah parti politik itu bersifat lokal dan masuk ke dalam acuan demokrasi, maka hal ini dibiarkan sahaja oleh Barat kerana ia tidak mengancam kepentingan mereka.
Oleh sebab itu, umat Islam harus memahami sepak-terajang di sebalik perseteruan negara-negara kafir dan penguasa-penguasa sekular yang berkiblatkan Barat dengan kelompok-kelompok Islam yang berjuang di bidang politik untuk memerangi pemikiran-pemikiran kufur, sistem dan undang-undang kufur seterusnya menegakkan pemerintahan Islam (yakni) Daulah Khilafah. Umat Islam harus memahami definisi politik dengan benar, baik secara bahasa mahupun secara syar’i dan bahawa politik Islam itu tidak dapat dipisahkan dari Daulah Islam! Politik Islam juga tidak akan dapat direalisasikan tanpa adanya Negara Islam. Tanpa Negara Islam (Khilafah), Islam sebenarnya mati secara politis kerana Khilafah merupakan institusi politik umat Islam yang menerap, menjaga dan menyebarkan risalah Islam ke seluruh penjuru alam. Inilah metod syar’iyyah untuk menerapkan sistem dan hukum Islam di dalam kehidupan, iaitu dengan adanya aktiviti politik dan parti politik yang berusaha untuk menegakkan sebuah Negara Islam (Khilafah) yang seterusnya akan menggantikan pemerintahan kufur-sekular, pemikiran kufur-sekular serta sistem dan undang-undang kufur yang membelenggu umat Islam selama ini.
Tanggungjawab Politik Rakyat
Selain pemimpin yang mempunyai tanggungjawab politik, Allah SWT juga memberi tugas politik kepada umat Islam secara keseluruhan untuk menjadi pengawas kepada pemimpin bagi memastikan pemimpin menjalankan tanggungjawab mereka sepenuhnya. Betapa wajib dan mulianya tugas ini sehingga Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang mati di dalam proses menentang kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin merupakan penghulu syuhada’. Sabda Rasulullah SAW,
“Penghulu syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan orang-orang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, memerintahkannya kepada kemakrufan dan melarangnya dari kemungkaran, kemudian ia (pemimpin tersebut) membunuhnya” [HR Hakim].
Islam menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang berdiam diri (redha) dengan perbuatan salah yang dilakukan oleh pemimpin, malah secara sukarela mengikutinya, maka dia akan dipertanggungjawabkan (dihisab) di hadapan Allah dan dia tidak akan terlepas dari azab Allah. Rasulullah SAW bersabda,
“Akan ada para pemimpin, lalu kalian (ada yang) mengakui perbuatan (salah)nya dan (ada yang) mengingkarinya. Siapa sahaja yang mengingkari (kejahatan)nya maka dia tidak akan diminta pertanggungjawaban (tidak dihisab) dan dia akan selamat (dari azab). Tetapi siapa sahaja yang redha dan mengikuti (perbuatan salah)nya (dia akan celaka). Para sahabat bertanya, ‘Tidakkah kita perangi sahaja mereka?’ Baginda bersabda, ‘Tidak, selama mereka masih menegakkan solat (hukum Islam)” [HR Muslim].
Haram hukumnya bagi umat Islam untuk berdiam diri dengan tindakan maksiat pemerintah. Muhasabah pemerintah adalah suatu tindakan politik dan ia wajib dilakukan oleh setiap Muslim. Di dalam hadis di atas, Rasulullah SAW memerintahkan agar kita menentang tindakan salah/maksiat dari para pemimpin. Muhasabah ke atas pemimpin wajib dilakukan dengan apa cara sekalipun sama ada secara perseorangan mahupun berjamaah, baik di dalam bentuk bersemuka, demonstrasi aman, melalui lisan mahupun penulisan. Malah jika tidak mampu melakukan itu semua, maka selemah-lemah iman adalah wajib untuk tidak redha (dengan hati) dengan kemaksiatan yang dilakukan oleh pemimpin. Siapa sahaja yang tidak mengingkari kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin, maka dia telah berdosa di sisi Allah dan layak menerima azab, sebagaimana disebut di dalam hadis di atas. Siapa sahaja yang mengikut dan taat kepada pemimpin yang melakukan maksiat ini, maka Allah sekali-kali tidak akan melepaskan kedua-duanya di akhirat kelak. Firman Allah,
“Dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) akan berkumpul menghadap ke hadirat Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong (yang menjadi pemimpinnya), ‘Sesungguhnya kami dahulu (di dunia) adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindar daripada kami sedikit dari azab Allah?’ Mereka (pemimpin) menjawab, ‘Kalaulah Allah memberi petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberi petunjuk kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja bagi kita, sama ada kita mengeluh atau kita bersabar, sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri (dari azab Allah)” [TMQ Ibrahim (14):21].
Di dalam ayat lain, Allah menerangkan,
“...Dan seandainya orang-orang yang melakukan kezaliman itu mengetahui ketika mereka melihat azab (pada hari Kiamat) bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahawa Allah amat berat seksaNya (nescaya mereka tidak akan melakukan kezaliman itu) (iaitu) ketika orang-orang yang diikuti (ketua-ketua) itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat azab dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali, dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut, ‘Seandainya kami dapat kembali (ke dunia) pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami (pada hari ini)’. Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka menjadi penyesalan bagi mereka, dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari (azab) neraka” [TMQ al-Baqarah (2):165-167].
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Kemaksiatan apakah yang lebih besar yang dilakukan oleh pemimpin selain dari tidak menerapkan hukum Allah? Betapa besarnya dosa tidak menerapkan hukum Allah sehingga boleh menjadikan mereka kafir [TMQ al-Ma’idah (5):44]. Juga, antara kemaksiatan yang terbesar ialah apabila para pemimpin ini dengan jelas lagi nyata menyeru kepada assabiyyah (perkauman) dan disahut pula oleh para pengikutnya. Rasulullah SAW menafikan para penyeru dan pejuang assabiyyah ini sebagai umat baginda. Sabda Nabi SAW,
“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Daud].
Wahai insan yang mahu menjadi umat Muhammad dan memperoleh syafaatnya di padang mahsyar nanti! Tinggalkanlah segera seruan dan perjuangan assabiyyah sebelum terlambat!!! Ingatlah bahawa pemerintahan yang ada pada hari ini bukanlah pemerintahan Islam dan wajib diubah. Berjuanglah untuk menegakkan pemerintahan Islam (Khilafah) melalui jalan politik Islam yang sebenar. Ingatlah bahawa berpolitik itu wajib hukumnya dan berpolitik itu boleh membawa seseorang itu ke syurga dan juga ke neraka. Ingatlah bahawa halatuju perjuangan politik, baik model lama mahupun model baru, selama mana ia berteraskan sekularisme yang memisahkan agama dari kehidupan (faslu deen ‘an al-hayah) dan bertunjangkan assabiyyah, maka demi sesungguhnya ia pasti akan menghalakan seseorang itu ke neraka, bukan ke syurga. Al-Quran dan al-Hadis telah pun mengingatkan kalian akan hal ini. Justeru, buatlah pilihan sebelum tiba hari di mana kalian tidak lagi dapat memilih!
0 manusia berfikir:
Post a Comment