[SN285] Sekali lagi kita menyaksikan kerajaan UMNO-BN pimpinan Datuk Seri Najib
Razak menggunakan ‘kuasa demokrasi’ yang ada pada mereka untuk menutup
mulut rakyat dari terus menyuarakan kezaliman yang mereka lakukan.
Setelah menyaksikan demonstrasi demi demonstrasi dilakukan oleh rakyat
terhadap kerajaan pimpinannya dan yang terbesar perhimpunan Bersih 2.0
pada 9 Julai lalu, Najib nampaknya sudah tidak lagi boleh bersabar, lalu
membentangkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibaca kali
pertama di Parlimen pada 22 November 2011. Hanya lebih kurang seminggu
sahaja dari pembentangannya, rang undang-undang tersebut telah pun
diluluskan pada 29 November lepas oleh Dewan Rakyat, tanpa kehadiran
ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat, yang ketika itu keluar dewan sebagai
tanda bantahan.
Walaupun telah mendapat bantahan keras dari parti pembangkang dan dari
pelbagai pihak, termasuklah Majlis Peguam yang berarak di luar Parlimen
pada hari ia diluluskan, namun kerajaan sekular UMNO-BN langsung tidak
tunduk kepada tekanan yang diberikan. Malah, Najib dan beberapa orang
Menteri lainnya dengan ‘penuh selamba’ menjelaskan bahawa rang
undang-undang tersebut sebenarnya ‘membenarkan’ rakyat, bukan menyekat
rakyat dari berhimpun.
Rang undang-undang yang dikatakan ‘membenarkan’ rakyat berhimpun itu
bagaimanapun langsung tidak membenarkan rakyat melakukan demonstrasi
jalanan. Manakala bagi mereka yang ingin berhimpun secara aman,
dibenarkan dengan syarat telah mendapat keizinan dari pihak polis yang
perlu dipohon 10 hari lebih awal, di mana sebelumnya adalah 30 hari
(sebelum pindaan). Rang undang-undang yang dikatakan Najib sebagai
‘membenarkan’ perhimpunan itu juga tidak membenarkan mana-mana
perhimpunan diadakan dalam jarak 50 meter dari kawasan ibadat (masjid)
dan tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun untuk terlibat
di dalam perhimpunan.
Bagi sesiapa yang didapati bersalah terlibat dengan perhimpunan yang
tidak diluluskan, maka denda sehingga RM20,000 akan dikenakan. ‘Nilai’
RM20,000 ini mungkin berpotensi menjadi batu penimbang yang baru bagi
seseorang atau sesebuah gerakan untuk mencongak ‘harga’ sebuah
perjuangan bagi mengkritik pemimpin selepas ini. Ia mungkin mampu
membuatkan sesetengah orang terus menutup mulut, sebagaimana hasrat
pemerintah di sebalik penggubalan akta haram ini.
Bagi seorang Muslim yang ikhlas dan merupakan pejuang Islam,
sesungguhnya makar (rancangan jahat) di sebalik pembentangan Rang
Undang-Undang Perhimpunan Aman ini amat mudah untuk difahami. Ia
bertujuan menghalang dan memadamkan usaha-usaha untuk melakukan
muhasabah atau amar makruf nahi mungkar terhadap pemerintah yang
melakukan kezaliman. Apa sekalipun alasan yang diberikan oleh kerajaan,
hakikatnya, kerajaan ini bimbang dan takut jika segala kezaliman,
kejahatan, penyelewengan dan penindasan yang mereka lakukan didedahkan
kepada umum dari masa ke semasa. Dengan menggubal rang undang-undang
ini, para pemerintah sekular yang berkuasa saat ini mengharapkan agar
segala makar mereka terus tersimpan kukuh di dalam peti besi kejahatan
tanpa dapat dibongkar oleh sesiapapun.
Sesungguhnya setiap diri yang mengaku Muslim wajib bangkit menentang
undang-undang ini kerana ia ternyata bertentangan dengan Islam. Setiap
dari kita mengetahui bahawa aktiviti muhasabah dan amar makruf nahi
mungkar adalah wajib di dalam Islam. Justeru, rang undang-undang seperti
ini yang ternyata menghalang sebuah kewajipan dari ditunaikan, wajib
dibantah dan ditentang habis-habisan. Allah SWT telah memerintahkan umat
Islam untuk melakukan muhasabah dan amar makruf nahi mungkar baik
secara tertutup mahupun secara terang-terangan tanpa melihat lagi
kebencian dan halangan manusia khususnya dari pemerintah. Sebarang usaha
yang menghalang aktiviti muhasabah ini bererti menentang kewajiban yang
telah diperintahkan oleh Allah SWT dan layak mendapat azab yang pedih
dariNya.
Wahai kaum Muslimin! Dengan diluluskan Rang Undang-Undang Perhimpunan
Aman 2011 dan juga lain-lain undang-undang yang kita saksikan sedang
dibahaskan di Parlimen sekarang, terbukti bahawa kerajaan sekular
UMNO-BN sekali lagi menunjukkan kelancangan mereka terhadap hukum Allah
SWT. Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman tersebut sesungguhnya adalah
usaha parti pemerintah sekular ini untuk menyekat aktiviti amar makruf
nahi mungkar yang diwajibkan oleh Allah SWT. Kerajaan UMNO-BN nampaknya
tidak sanggup untuk melihat dan menghadapi kebangkitan rakyat
sebagaimana yang terjadi di negara-negara Arab. Justeru, ‘benteng’ harus
dibina segera untuk melindungi kedudukan mereka agar nasib yang menimpa
rakan-rakan sejawat mereka seperti Ben Ali, Mubarak, Muamar Gaddafi dan
lain-lain tidak menimpa batang hidung mereka pula. Satu perkara yang
para pimpinan UMNO-BN ini seperti tidak faham adalah bahawa, apa sahaja
yang mereka lakukan sebenarnya semakin hari semakin mengundang kemarahan
dan kebangkitan rakyat dan tindakan mereka ini sebenarnya hanyalah
usaha memperdalamkan lagi proses penggalian kubur mereka sendiri!
Menentang Taghut Tetapi Berhakim Dengan Taghut?
Memuhasabah pemerintah atas segala kemungkaran yang mereka lakukan bukan
sahaja menjadi hak, malah merupakan kewajipan setiap Muslim. Firman
Allah SWT,
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru
kepada kebajikan (Islam), mengajak kepada yang makruf dan mencegah dari
yang mungkar” [TMQ Ali Imran (3):104].
Di dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda,
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia
mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu, hendaklah (mengubah)
dengan lisannya, jika tidak mampu, hendaklah (mengubah) dengan hatinya.
Akan tetapi, yang demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemahnya
iman” [HR Muslim].
Malah muhasabah yang paling agung adalah muhasabah yang dilakukan kepada
pemerintah sehingga Rasulullah SAW menjanjikan pahala sayyidu syuhada’
(penghulu orang-orang yang syahid) kepada sesiapa yang dibunuh oleh
pemerintah hasil dari muhasabah tersebut. Sabda Nabi SAW,
“Penghulu syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutallib dan orang-orang
yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, memerintahkannya kepada
kemakrufan dan melarangnya dari kemungkaran, kemudian dia (pemimpin
tersebut) membunuhnya” [HR Hakim].
Begitulah mulia dan tingginya darjat Mukmin yang melakukan muhasabah
khususnya kepada pemerintah. Masirah (demonstrasi aman) adalah salah
satu dari uslub (cara) di dalam memuhasabah pemerintah yang melakukan
kemungkaran yang dibenarkan di dalam Islam (sila lihat perbincangan
mengenai hukum demonstrasi menurut Islam di dalam SN267, SN268 &
SN071). Sebagai Muslim, tolok ukur kita di dalam menolak kemungkaran
wajiblah bersandarkan kepada nas sama ada Al-Quran, As-Sunnah atau apa
yang terbit dari keduanya berupa Ijmak Sabahat dan Qiyas.
Malangnya, di sebalik suara-suara dan usaha-usaha oleh sesetengah kaum
Muslimin sama ada secara individu mahupun gerakan dalam menentang Rang
Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 ini, sungguh menyayat hati apabila
ada pihak yang tidak menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai nas untuk
menolak rang undang-undang tersebut, namun mereka merujuk kepada
Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘nas’ utama mereka, khususnya Perkara
10 Perlembagaan yang memperuntukkan hak bagi setiap warganegara untuk
berhimpun secara aman. Bagi non-Muslim yang menolak rang undang-undang
tersebut, sudah sewajarnyalah jika mereka menggunakan Perlembagaan
Persekutuan sebagai hujah kerana agama mereka tidak mengandungi
‘hukum-hakam’ dalam bab ini. Namun bagi orang/gerakan Islam yang
menentang rang undang-undang tersebut tetapi menggunakan Perlembagaan
ciptaan kafir penjajah itu sebagai ‘nas’, hal ini sungguh telah tersasar
jauh dari Islam dan amat mendukacitakan.
Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 adalah bertentangan dengan
Islam kerana Islam tidak pernah menghalang, malah mewajibkan umatnya
untuk melakukan muhasabah kepada pemerintah dalam apa jua bentuk yang
syar’ie. Islam mengajar penganutnya bahawa tidak perlu meminta izin dari
pihak polis atau pun pihak Menteri untuk memuhasabah pemerintah, malah
jauh sama sekali untuk mengenakan denda kepada orang yang memuhasabah
pemerintah! Inilah hukum Islam dalam hal ini dan hanya hukum-hakam Islam
sahaja yang wajib dirujuk di dalam menilai ‘sah-batil’ sesuatu
undang-undang/tindakan. Justeru, rang undang-undang taghut
(bertentangan dengan Islam) yang diluluskan itu seharusnya dinyatakan
dan ditentang kebatilannya berdasarkan Al-Quran dan Sunnah, bukannya
dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang merupakan taghut
yang paling besar di Malaysia. Sungguh amat menyedihkan apabila ada
orang/gerakan Islam yang menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai
‘hakim’ di dalam menilai kebatilan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman
tersebut. Firman Allah SWT,
“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya
telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang
diturunkan sebelummu? Mereka hendak berhakim kepada taghut padahal
mereka telah diperintah mengingkari taghut itu dan syaitan bermaksud
menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya” [TMQ an-Nisa’ (4):60].
Demokrasi Oh Demokrasi!
Dengan penggubalan dan kelulusan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman
yang masih berlangsung sekarang ini, sekali lagi kita melihat bagaimana
para pencinta demokrasi terus bergelumang dengan najis demokrasi. Di
pihak kerajaan, mereka berjaya meluluskan rang undang-undang ini dengan
mudah kerana mereka memegang majoriti di Parlimen. Inilah hakikat
demokrasi, sebuah sebuah sistem (kufur) di mana hak membuat
undang-undang itu berada di tangan manusia yang mana manusia berhak
membuat undang-undang melalui suara majoriti. Dinilai secara
‘demokrasi’nya, apa yang dilakukan oleh rejim sekular UMNO-BN tidaklah
salah, malah amat bertepatan. Manakala di pihak pembangkang dan juga
sebahagian umat/gerakan Islam yang juga pencinta demokrasi, mereka
sekali lagi terperangkap dan ‘lemas’ di dalam najis demokrasi, namun
malangnya mereka tetap tidak mahu keluar dari najis tersebut malah terus
cuba membersihkan najis tersebut dari dalam tongnya.
Mereka langsung tidak memandang apa yang diluluskan oleh kerajaan
sekular UMNO-BN itu sebagai bertentangan dengan ‘Islam’, tetapi
memandangnya sebagai bertentangan dengan ‘demokrasi’. Kayu ukur mereka
di dalam menentukan ‘sah-batil’nya sesuatu undang-undang bukan lagi
diukur dengan Islam, tetapi diukur dengan demokrasi! Oleh kerana itulah,
kita dapat membaca, mendengar dan menyaksikan bagaimana respons mereka
di dalam isu ini di mana komen atau bantahan mereka terhadap rang
undang-undang tersebut adalah kerana rang undang-undang tersebut
dianggap ‘tidak demokratik, mempersempitkan amalan demokrasi, menyekat
demokrasi, menafikan demokrasi, memundurkan amalan demokrasi,
bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi, menghakis demokrasi,
membantutkan demokrasi dan sebagainya lagi yang berkaitan dengan
demokrasi! Pendek kata, apa sahaja rang undang-undang atau ‘kesalahan’
yang dilakukan oleh pemerintah, kayu ukur bagi mereka untuk menyalahkan
pemerintah adalah dengan ‘demokrasi’ bukannya dengan ‘Islam’.
‘Demokrasi’ seolah-olah sudah menjadi satu ‘agama’ baru di dalam
meletakkan benar-salahnya sesuatu tindakan!
Sedarlah wahai kaum Muslimin, bahawa Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman
2011 ini adalah buah busuk yang keluar daripada pohon beracun demokrasi
yang sedang menaungi Malaysia ketika ini. Pohon demokrasi ini, walaupun
kelihatan cantik, tetapi sesungguhnya dipenuhi racun, bisa dan duri
yang boleh dan telah menghakis sedikit demi sedikit akidah umat Islam
yang bernaung di bawahnya, yang terpukau dengan keindahannya. Sedarlah
wahai kaum Muslimin bahawa selagi pohon ini tidak ditebang dan dibuang
dari akar umbinya, maka selagi itulah ia akan terus menghasilkan
buah-buah yang busuk lagi beracun.
Sudah berapa lama umat Islam pencinta demokrasi terus dibohongi oleh
demokrasi, namun mereka tetap rela dan redha serta pasrah dengannya.
Inilah perkara yang amat menyedihkan kita apabila melihat umat Islam
terus redha ‘membelenggu’ diri mereka dengan sistem kufur demokrasi dan
tidak mahu keluar darinya, malah tetap istiqamah memperjuangkannya.
Demokrasi yang kononnya menyeru dan memperjuangkan hak rakyat dengan
slogan “dari rakyat oleh rakyat untuk rakyat” ternyata merupakan sebuah
pembohongan besar yang dapat dilihat oleh orang yang buta sekalipun. Di
manakah letaknya “dari rakyat” dalam Rang Undang-undang Perhimpunan Aman
2011 apabila rakyat langsung tidak pernah ditanya, apatah lagi meminta,
wakil mereka (‘wakil rakyat’) untuk menggubal undang-undang tersebut?
Sesungguhnya ia bukanlah undang-undang yang datangnya “dari rakyat” dan
bukan pula “oleh rakyat”, sebaliknya ia adalah undang-undang yang
datangnya dari wakil UMNO-BN (bukannya wakil rakyat) yang tunduk patuh,
mengampu dan taat membabi buta kepada ketua mereka yang membentangkan
rang undang-undang tersebut. Dan rang undang-undang ini nyatanya
bukanlah “untuk rakyat” tetapi jelas-jelas untuk kepentingan beberapa
kerat elit pemerintahan sahaja, demi mempertahankan kuasa dan takhta
yang mereka miliki.
Berapa ramai sekalipun dari golongan rakyat yang bangkit menentang rang
undang-undang ini, namun ia tetap juga lulus kerana ‘segelintir kecil’
manusia, atas nama ‘wakil rakyat’ yang hakikatnya adalah ‘wakil parti’
UMNO-BN, menyokong untuk ia diluluskan. Inilah realiti demokrasi yang
penuh pembohongan, sebuah sistem yang berasal dari kuffar Barat yang
amat menjijikkan!!! Atas nama demokrasi manusia boleh membuat apa sahaja
undang-undang mengikut kehendak dan hawa nafsu mereka. Para pengamal
dan pejuang demokrasi ini, atas nama demokrasi, sering menyatakan bahawa
apa sahaja yang mereka lakukan sebenarnya adalah demi perbaikan, namun
hakikatnya mereka telah melakukan kerosakan demi kerosakan. Firman Allah
SWT
“Dan bila dikatakan kepada mereka, ‘Janganlah kamu membuat kerosakan di
muka bumi’ mereka menjawab, ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang membuat
perbaikan’. Ingatlah sesungguhnya mereka itulah orang-orang membuat
kerosakan tetapi mereka tidak sedar” [TMQ al-Baqarah (2):10-11].
Ingatlah bahawa tidak ada ‘perbaikan’ sedikitpun apabila hukum Allah
dicampakkan dan lebih buruk lagi apabila manusia mengambil hak Allah di
dalam membuat undang-undang!
Khatimah
Walau apa sekalipun usaha pemerintah dalam memastikan mereka tetap
bertakhta, sesungguhnya kebangkitan Islam dan umat Islam akan tetap
berlaku. Umat Islam semakin sedar bahawa as-sulthan li al-ummah
(kekuasaan adalah di tangan umat) dan as-siyadah li as-syara’
(kedaulatan adalah di tangan syarak). Umat Islam semakin sedar bahawa
hak untuk melantik pemimpin (Khalifah) ada di tangan mereka dan pemimpin
itu dilantik untuk menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, bukan
untuk menerapkan hukum kufur. Umat Islam tidak akan selama-selamanya
sanggup hidup dalam keadaan pemerintahan kufur seperti yang ada
sekarang. Mereka kini sedang berusaha untuk bangkit dan meraih semula
‘hak kekuasaan’ yang telah sekian lama diragut dari tangan mereka. Hal
ini telah mula ditunjukkan pada kebangkitan yang berlaku di Timur Tengah
yang masih lagi sedang berjalan. Umat Islam sudah tidak lagi takut
dengan pemerintah walaupun nyawa dan harta mereka menjadi galang
gantinya. Mereka sudah sedar bahawa itulah risiko perjuangan yang bakal
mereka terima di dunia yang akan digantikan oleh Allah SWT dengan nikmat
yang tidak terhingga di akhirat kelak. Perjuangan menegakkan agama
Allah adalah sebuah perjuangan yang benar dan tidak ada pilihan
perjuangan lain dalam kehidupan ini kerana itulah satu-satunya kebenaran
yang hakiki. Faktor ini menjadi dorongan, harapan dan semangat yang
sangat kuat bagi umat Islam yang memperjuangkannya, walaupun dihalang
dengan pelbagai halangan. Umat Islam yang ikhlas dalam perjuangannya
sentiasa memahami bahawa perjuangan mereka direstui oleh Allah SWT dan
dijanjikan kemuliaan olehNya sama ada dengan meraih
kemenangan/kesyahidan di dunia mahupun syurga di akhirat kelak. Itulah
janji Allah SWT dan Allah adalah Zat yang tidak akan memungkiri
janjiNya. Tidak ada lagi janji yang lebih pasti melainkan janji Allah
dan Maha Suci Allah yang akan menunaikan janjiNya ke atas para pejuang
deenNya.