02 December 2011

Akta Perhimpunan Aman Haram di sisi Islam!

[SN285] Sekali lagi kita menyaksikan kerajaan UMNO-BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak menggunakan ‘kuasa demokrasi’ yang ada pada mereka untuk menutup mulut rakyat dari terus menyuarakan kezaliman yang mereka lakukan. Setelah menyaksikan demonstrasi demi demonstrasi dilakukan oleh rakyat terhadap kerajaan pimpinannya dan yang terbesar perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, Najib nampaknya sudah tidak lagi boleh bersabar, lalu membentangkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibaca kali pertama di Parlimen pada 22 November 2011. Hanya lebih kurang seminggu sahaja dari pembentangannya, rang undang-undang tersebut telah pun diluluskan pada 29 November lepas oleh Dewan Rakyat, tanpa kehadiran ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat, yang ketika itu keluar dewan sebagai tanda bantahan.

Walaupun telah mendapat bantahan keras dari parti pembangkang dan dari pelbagai pihak, termasuklah Majlis Peguam yang berarak di luar Parlimen pada hari ia diluluskan, namun kerajaan sekular UMNO-BN langsung tidak tunduk kepada tekanan yang diberikan. Malah, Najib dan beberapa orang Menteri lainnya dengan ‘penuh selamba’ menjelaskan bahawa rang undang-undang tersebut sebenarnya ‘membenarkan’ rakyat, bukan menyekat rakyat dari berhimpun.

Rang undang-undang yang dikatakan ‘membenarkan’ rakyat berhimpun itu bagaimanapun langsung tidak membenarkan rakyat melakukan demonstrasi jalanan. Manakala bagi mereka yang ingin berhimpun secara aman, dibenarkan dengan syarat telah mendapat keizinan dari pihak polis yang perlu dipohon 10 hari lebih awal, di mana sebelumnya adalah 30 hari (sebelum pindaan). Rang undang-undang yang dikatakan Najib sebagai ‘membenarkan’ perhimpunan itu juga tidak membenarkan mana-mana perhimpunan diadakan dalam jarak 50 meter dari kawasan ibadat (masjid) dan tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun untuk terlibat di dalam perhimpunan.

Bagi sesiapa yang didapati bersalah terlibat dengan perhimpunan yang tidak diluluskan, maka denda sehingga RM20,000 akan dikenakan. ‘Nilai’ RM20,000 ini mungkin berpotensi menjadi batu penimbang yang baru bagi seseorang atau sesebuah gerakan untuk mencongak ‘harga’ sebuah perjuangan bagi mengkritik pemimpin selepas ini. Ia mungkin mampu membuatkan sesetengah orang terus menutup mulut, sebagaimana hasrat pemerintah di sebalik penggubalan akta haram ini.

Bagi seorang Muslim yang ikhlas dan merupakan pejuang Islam, sesungguhnya makar (rancangan jahat) di sebalik pembentangan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman ini amat mudah untuk difahami. Ia bertujuan menghalang dan memadamkan usaha-usaha untuk melakukan muhasabah atau amar makruf nahi mungkar terhadap pemerintah yang melakukan kezaliman. Apa sekalipun alasan yang diberikan oleh kerajaan, hakikatnya, kerajaan ini bimbang dan takut jika segala kezaliman, kejahatan, penyelewengan dan penindasan yang mereka lakukan didedahkan kepada umum dari masa ke semasa. Dengan menggubal rang undang-undang ini, para pemerintah sekular yang berkuasa saat ini mengharapkan agar segala makar mereka terus tersimpan kukuh di dalam peti besi kejahatan tanpa dapat dibongkar oleh sesiapapun.

Sesungguhnya setiap diri yang mengaku Muslim wajib bangkit menentang undang-undang ini kerana ia ternyata bertentangan dengan Islam. Setiap dari kita mengetahui bahawa aktiviti muhasabah dan amar makruf nahi mungkar adalah wajib di dalam Islam. Justeru, rang undang-undang seperti ini yang ternyata menghalang sebuah kewajipan dari ditunaikan, wajib dibantah dan ditentang habis-habisan. Allah SWT telah memerintahkan umat Islam untuk melakukan muhasabah dan amar makruf nahi mungkar baik secara tertutup mahupun secara terang-terangan tanpa melihat lagi kebencian dan halangan manusia khususnya dari pemerintah. Sebarang usaha yang menghalang aktiviti muhasabah ini bererti menentang kewajiban yang telah diperintahkan oleh Allah SWT dan layak mendapat azab yang pedih dariNya.

Wahai kaum Muslimin! Dengan diluluskan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 dan juga lain-lain undang-undang yang kita saksikan sedang dibahaskan di Parlimen sekarang, terbukti bahawa kerajaan sekular UMNO-BN sekali lagi menunjukkan kelancangan mereka terhadap hukum Allah SWT. Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman tersebut sesungguhnya adalah usaha parti pemerintah sekular ini untuk menyekat aktiviti amar makruf nahi mungkar yang diwajibkan oleh Allah SWT. Kerajaan UMNO-BN nampaknya tidak sanggup untuk melihat dan menghadapi kebangkitan rakyat sebagaimana yang terjadi di negara-negara Arab. Justeru, ‘benteng’ harus dibina segera untuk melindungi kedudukan mereka agar nasib yang menimpa rakan-rakan sejawat mereka seperti Ben Ali, Mubarak, Muamar Gaddafi dan lain-lain tidak menimpa batang hidung mereka pula. Satu perkara yang para pimpinan UMNO-BN ini seperti tidak faham adalah bahawa, apa sahaja yang mereka lakukan sebenarnya semakin hari semakin mengundang kemarahan dan kebangkitan rakyat dan tindakan mereka ini sebenarnya hanyalah usaha memperdalamkan lagi proses penggalian kubur mereka sendiri!

Menentang Taghut Tetapi Berhakim Dengan Taghut?

Memuhasabah pemerintah atas segala kemungkaran yang mereka lakukan bukan sahaja menjadi hak, malah merupakan kewajipan setiap Muslim. Firman Allah SWT,

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam), mengajak kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar” [TMQ Ali Imran (3):104].

Di dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu, hendaklah (mengubah) dengan lisannya, jika tidak mampu, hendaklah (mengubah) dengan hatinya. Akan tetapi, yang demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemahnya iman” [HR Muslim]. 

Malah muhasabah yang paling agung adalah muhasabah yang dilakukan kepada pemerintah sehingga Rasulullah SAW menjanjikan pahala sayyidu syuhada’ (penghulu orang-orang yang syahid) kepada sesiapa yang dibunuh oleh pemerintah hasil dari muhasabah tersebut. Sabda Nabi SAW,

“Penghulu syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutallib dan orang-orang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, memerintahkannya kepada kemakrufan dan melarangnya dari kemungkaran, kemudian dia (pemimpin tersebut) membunuhnya” [HR Hakim].

Begitulah mulia dan tingginya darjat Mukmin yang melakukan muhasabah khususnya kepada pemerintah. Masirah (demonstrasi aman) adalah salah satu dari uslub (cara) di dalam memuhasabah pemerintah yang melakukan kemungkaran yang dibenarkan di dalam Islam (sila lihat perbincangan mengenai hukum demonstrasi menurut Islam di dalam SN267, SN268 & SN071). Sebagai Muslim, tolok ukur kita di dalam menolak kemungkaran wajiblah bersandarkan kepada nas sama ada Al-Quran, As-Sunnah atau apa yang terbit dari keduanya berupa Ijmak Sabahat dan Qiyas.

Malangnya, di sebalik suara-suara dan usaha-usaha oleh sesetengah kaum Muslimin sama ada secara individu mahupun gerakan dalam menentang Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 ini, sungguh menyayat hati apabila ada pihak yang tidak menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai nas untuk menolak rang undang-undang tersebut, namun mereka merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘nas’ utama mereka, khususnya Perkara 10 Perlembagaan yang memperuntukkan hak bagi setiap warganegara untuk berhimpun secara aman. Bagi non-Muslim yang menolak rang undang-undang tersebut, sudah sewajarnyalah jika mereka menggunakan Perlembagaan Persekutuan sebagai hujah kerana agama mereka tidak mengandungi ‘hukum-hakam’ dalam bab ini. Namun bagi orang/gerakan Islam yang menentang rang undang-undang tersebut tetapi menggunakan Perlembagaan ciptaan kafir penjajah itu sebagai ‘nas’, hal ini sungguh telah tersasar jauh dari Islam dan amat mendukacitakan.

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 adalah bertentangan dengan Islam kerana Islam tidak pernah menghalang, malah mewajibkan umatnya untuk melakukan muhasabah kepada pemerintah dalam apa jua bentuk yang syar’ie. Islam mengajar penganutnya bahawa tidak perlu meminta izin dari pihak polis atau pun pihak Menteri untuk memuhasabah pemerintah, malah jauh sama sekali untuk mengenakan denda kepada orang yang memuhasabah pemerintah! Inilah hukum Islam dalam hal ini dan hanya hukum-hakam Islam sahaja yang wajib dirujuk di dalam menilai ‘sah-batil’ sesuatu undang-undang/tindakan.  Justeru, rang undang-undang taghut (bertentangan dengan Islam) yang diluluskan itu seharusnya dinyatakan dan ditentang kebatilannya berdasarkan Al-Quran dan Sunnah, bukannya dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang merupakan taghut yang paling besar di Malaysia. Sungguh amat menyedihkan apabila ada orang/gerakan Islam yang menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘hakim’ di dalam menilai kebatilan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman tersebut. Firman Allah SWT,

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelummu? Mereka hendak berhakim kepada taghut padahal mereka telah diperintah mengingkari taghut itu dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya” [TMQ an-Nisa’ (4):60].

Demokrasi Oh Demokrasi!

Dengan penggubalan dan kelulusan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang masih berlangsung sekarang ini, sekali lagi kita melihat bagaimana para pencinta demokrasi terus bergelumang dengan najis demokrasi. Di pihak kerajaan, mereka berjaya meluluskan rang undang-undang ini dengan mudah kerana mereka memegang majoriti di Parlimen. Inilah hakikat demokrasi, sebuah sebuah sistem (kufur) di mana hak membuat undang-undang itu berada di tangan manusia yang mana manusia berhak membuat undang-undang melalui suara majoriti. Dinilai secara ‘demokrasi’nya, apa yang dilakukan oleh rejim sekular UMNO-BN tidaklah salah, malah amat bertepatan. Manakala di pihak pembangkang dan juga sebahagian umat/gerakan Islam yang juga pencinta demokrasi, mereka sekali lagi terperangkap dan ‘lemas’ di dalam najis demokrasi, namun malangnya mereka tetap tidak mahu keluar dari najis tersebut malah terus cuba membersihkan najis tersebut dari dalam tongnya.

Mereka langsung tidak memandang apa yang diluluskan oleh kerajaan sekular UMNO-BN itu sebagai bertentangan dengan ‘Islam’, tetapi memandangnya sebagai bertentangan dengan ‘demokrasi’. Kayu ukur mereka di dalam menentukan ‘sah-batil’nya sesuatu undang-undang bukan lagi diukur dengan Islam, tetapi diukur dengan demokrasi! Oleh kerana itulah, kita dapat membaca, mendengar dan menyaksikan bagaimana respons mereka di dalam isu ini di mana komen atau bantahan mereka terhadap rang undang-undang tersebut adalah kerana rang undang-undang tersebut dianggap ‘tidak demokratik, mempersempitkan amalan demokrasi, menyekat demokrasi, menafikan demokrasi, memundurkan amalan demokrasi, bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi, menghakis demokrasi, membantutkan demokrasi dan sebagainya lagi yang berkaitan dengan demokrasi! Pendek kata, apa sahaja rang undang-undang atau ‘kesalahan’ yang dilakukan oleh pemerintah, kayu ukur bagi mereka untuk menyalahkan pemerintah adalah dengan ‘demokrasi’ bukannya dengan ‘Islam’. ‘Demokrasi’ seolah-olah sudah menjadi satu ‘agama’ baru di dalam meletakkan benar-salahnya sesuatu tindakan!

Sedarlah wahai kaum Muslimin, bahawa Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 ini adalah buah busuk yang keluar daripada pohon beracun demokrasi yang sedang menaungi Malaysia ketika ini. Pohon demokrasi ini, walaupun kelihatan cantik, tetapi sesungguhnya dipenuhi racun, bisa dan duri yang boleh dan telah menghakis sedikit demi sedikit akidah umat Islam yang bernaung di bawahnya, yang terpukau dengan keindahannya. Sedarlah wahai kaum Muslimin bahawa selagi pohon ini tidak ditebang dan dibuang dari akar umbinya, maka selagi itulah ia akan terus menghasilkan buah-buah yang busuk lagi beracun.

Sudah berapa lama umat Islam pencinta demokrasi terus dibohongi oleh demokrasi, namun mereka tetap rela dan redha serta pasrah dengannya. Inilah perkara yang amat menyedihkan kita apabila melihat umat Islam terus redha ‘membelenggu’ diri mereka dengan sistem kufur demokrasi dan tidak mahu keluar darinya, malah tetap istiqamah memperjuangkannya. Demokrasi yang kononnya menyeru dan memperjuangkan hak rakyat dengan slogan “dari rakyat oleh rakyat untuk rakyat” ternyata merupakan sebuah pembohongan besar yang dapat dilihat oleh orang yang buta sekalipun. Di manakah letaknya “dari rakyat” dalam Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 apabila rakyat langsung tidak pernah ditanya, apatah lagi meminta, wakil mereka (‘wakil rakyat’) untuk menggubal undang-undang tersebut? Sesungguhnya ia bukanlah undang-undang yang datangnya “dari rakyat” dan bukan pula “oleh rakyat”, sebaliknya ia adalah undang-undang yang datangnya dari wakil UMNO-BN (bukannya wakil rakyat) yang tunduk patuh, mengampu dan taat membabi buta kepada ketua mereka yang membentangkan rang undang-undang tersebut. Dan rang undang-undang ini nyatanya bukanlah “untuk rakyat” tetapi jelas-jelas untuk kepentingan beberapa kerat elit pemerintahan sahaja, demi mempertahankan kuasa dan takhta yang mereka miliki.

Berapa ramai sekalipun dari golongan rakyat yang bangkit menentang rang undang-undang ini, namun ia tetap juga lulus kerana ‘segelintir kecil’ manusia, atas nama ‘wakil rakyat’ yang hakikatnya adalah ‘wakil parti’ UMNO-BN, menyokong untuk ia diluluskan. Inilah realiti demokrasi yang penuh pembohongan, sebuah sistem yang berasal dari kuffar Barat yang amat menjijikkan!!! Atas nama demokrasi manusia boleh membuat apa sahaja undang-undang mengikut kehendak dan hawa nafsu mereka. Para pengamal dan pejuang demokrasi ini, atas nama demokrasi, sering menyatakan bahawa apa sahaja yang mereka lakukan sebenarnya adalah demi perbaikan, namun hakikatnya mereka telah melakukan kerosakan demi kerosakan. Firman Allah SWT

“Dan bila dikatakan kepada mereka, ‘Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi’ mereka menjawab, ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang membuat perbaikan’. Ingatlah sesungguhnya mereka itulah orang-orang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar” [TMQ al-Baqarah (2):10-11].

Ingatlah bahawa tidak ada ‘perbaikan’ sedikitpun apabila hukum Allah dicampakkan dan lebih buruk lagi apabila manusia mengambil hak Allah di dalam membuat undang-undang!

Khatimah

Walau apa sekalipun usaha pemerintah dalam memastikan mereka tetap bertakhta, sesungguhnya kebangkitan Islam dan umat Islam akan tetap berlaku. Umat Islam semakin sedar bahawa as-sulthan li al-ummah (kekuasaan adalah di tangan umat) dan as-siyadah li as-syara’ (kedaulatan adalah di tangan syarak). Umat Islam semakin sedar bahawa hak untuk melantik pemimpin (Khalifah) ada di tangan mereka dan pemimpin itu dilantik untuk menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, bukan untuk menerapkan hukum kufur. Umat Islam tidak akan selama-selamanya sanggup hidup dalam keadaan pemerintahan kufur seperti yang ada sekarang. Mereka kini sedang berusaha untuk bangkit dan meraih semula ‘hak kekuasaan’ yang telah sekian lama diragut dari tangan mereka. Hal ini telah mula ditunjukkan pada kebangkitan yang berlaku di Timur Tengah yang masih lagi sedang berjalan. Umat Islam sudah tidak lagi takut dengan pemerintah walaupun nyawa dan harta mereka menjadi galang gantinya. Mereka sudah sedar bahawa itulah risiko perjuangan yang bakal mereka terima di dunia yang akan digantikan oleh Allah SWT dengan nikmat yang tidak terhingga di akhirat kelak. Perjuangan menegakkan agama Allah adalah sebuah perjuangan yang benar dan tidak ada pilihan perjuangan lain dalam kehidupan ini kerana itulah satu-satunya kebenaran yang hakiki. Faktor ini menjadi dorongan, harapan dan semangat yang sangat kuat bagi umat Islam yang memperjuangkannya, walaupun dihalang dengan pelbagai halangan. Umat Islam yang ikhlas dalam perjuangannya sentiasa memahami bahawa perjuangan mereka direstui oleh Allah SWT dan dijanjikan kemuliaan olehNya sama ada dengan meraih kemenangan/kesyahidan di dunia mahupun syurga di akhirat kelak. Itulah janji Allah SWT dan Allah adalah Zat yang tidak akan memungkiri janjiNya. Tidak ada lagi janji yang lebih pasti melainkan janji Allah dan Maha Suci Allah yang akan menunaikan janjiNya ke atas para pejuang deenNya.
Share:

4 manusia berfikir:


  1. arrayah.info
    - Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman bertentangan Al-Quran dan Sunnah

    ReplyDelete
  2. Memang wajar perkara ini diberi perhatian :D

    ReplyDelete
  3. Memang wajar perkara diketengahkan . :)

    ReplyDelete
  4. salam kenal dari saya,,sukses yahh dengan postingan nya

    ReplyDelete

Chat with me